Brighton mangsa pertama Chelsea | Harian Metro

FRANK Lampard yakin Chelsea mula mendapat faedah hasil pembelian mewah bernilai £200 juta (RM1.06 bilion) apabila memulakan kempen Liga Perdana dengan menewaskan Brighton 3-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Bos Blues, Lampard menandatangani beberapa pemain baharu dan pulangan awal hasil pelaburan mereka menampakkan tanda positif.

Penyerang Jerman, Timo Werner yang dibeli dengan harga £53 juta (RM282 juta) daripada Leipzig berjaya mendapatkan penalti yang disudahkan Jorginho untuk meletakkan Chelsea di depan.

 PEMAIN  Brighton, Tariq Lamptey (kanan) menjatuhkan pemain Chelsea, Ross Barkley.
PEMAIN Brighton, Tariq Lamptey (kanan) menjatuhkan pemain Chelsea, Ross Barkley.

Kai Havertz yang berpindah dari Bayer Leverkusen dengan harga £70 juta (RM372 juta) kurang memberi impak tetapi Lampard yakin pemain muda Jerman itu akan menyinar sedikit masa lagi.

“Kepantasan Timo mendapatkan penalti menunjukkan dia memang tajam dan mengancam kubu lawan sepanjang perlawanan. Dia tidak duduk diam dan saya suka prestasinya,” kata Lampard.

“Dengan Kai, kita nampak banyak daripadanya. Mendapat minit perlawanan bagus buatnya dan mereka berdua akan menjadi aset hebat buat kelab.”

Kesilapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga membolehkan Leandro Trossard menyamakan kedudukan buat Brighton.

Tetapi rembatan kencang Reece James meletakkan kembali Chelsea di depan sebelum percubaan Kurt Zouma memastikan tiga mata buat pelawat.

Kemenangan itu sudah pasti melegakan Lampard yang diletakkan harapan tinggi untuk mencabar gelaran liga selepas berbelanja mewah membeli pemain berprofil tinggi.