PIERRE Gasly amat gembira sehingga tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata ketika memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) buat kali pertama, setahun selepas disingkirkan oleh Red Bull ke pasukan junior, Alpha Tauri.
Ia hanyalah kemenangan kedua bagi pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Minardi dan Toro Rosso pada saingan F1 sejak menyertai perlumbaan berprestij itu bermula 1985.
Gasly, 24, bergelut untuk memberikan impak berbanding rakan sepasukannya, Max Verstappen pada separuh musim sehingga terpaksa diganti dengan pelumba rookie, Alex Albon pada Ogos tahun lalu.
“Saya melalui emosi yang tidak menentu sejak 18 bulan lalu,” kata pelumba dari Perancis itu.
Dia kembali beraksi bersama Toro Rosso yang kemudian pada tahun ini ditukar nama kepada Alpha Tauri.
“Secara jujur, saya masih tidak mempercayai kemenangan ini. Saya tidak dapat menggambarkan apakah yang sebenarnya berlaku ketika ini.
“Ia adalah perlumbaan yang sangat mencabar. Kami memanfaatkan peluang sepenuhnya ketika bendera merah dikibarkan.
“Jentera juga sangat pantas dan kami juga menerima saingan sengit daripada pasukan lain.
Dia menambah: “Apabila saya meraih podium pertama tahun lalu ia sudah cukup membanggakan. Kini saya memenangi perlumbaan bersama AlphaTauri dan ia sukar untuk dipercayai.”
Gasly menamatkan perlumbaan mengatasi Carlos Sainz dari McLaren di tempat kedua dan Lance Stroll (Racing Point) ketiga.