Serena bergelut catat kemenangan | Harian Metro

SERENA Williams bangkit mengatasi pemain kelayakan dari Belanda, Arantxa Rus seterusnya menguasai set penentuan untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Western & Southern, awal pagi ini.

Pemain pilihan ketiga kejohanan, Serena kekal sebagai pemain pilihan kategori wanita di kejohanan yang berpindah dari Cincinnati ke New York untuk meletakkan pemain dalam kelompok kuarantin Covid-19 di venue yang akan menjadi tuan rumah Terbuka Amerika Syarikat (AS) bermula 31 Ogos ini.

Pilihan utama, Karolina Pliskova dan pemain nombor dua, Sofia Kenin kedua-duanya tersingkir awal dan juara Grand Slam 23 kali, Serena pada mulanya dilihat akan mengikut jejak mereka sebelum bangkit menewaskan Arantxa 7-6 (8/6), 3-6, 7-6 (7/0).

Serena tercicir empat mata berturut-turut dalam set kedua berdepan jaguh tangan kiri yang tidak pernah memenangi kejuaraan WTA.

Bintang Amerika Syarikat itu kemudian memastikan kemenangan dalam set penentuan untuk mencatat kemenangan dalam masa dua jam dan 49 minit.

“Ia perlawanan sukar. Aksi yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi,” kata Williams.

“Kemenangan ini adalah anugerah pada diri saya selepas berusaha gigih. Saya seperti beraksi di hadapan ramai penonton di sini.”

Ia adalah perlawanan ke empat membabitkan pertarungan tiga set buat Serena sejak kembali di kejohanan bermula Lexington, Kentucky selepas saingan WTA terhenti kerana Covid-19.

Serena berkata latihan kecergasan ketika tempoh rehat membuatkan dirinya sentiasa bersedia.

“Saya sebenarnya amat cergas dan sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.