Gandingan RM1.973 bilion tumpul | Harian Metro

PENGENDALI Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel mempertahankan gandingan penyerang berharga 400 juta euro (RM1.973 bilion), Neymar dan Kylian Mbappe selepas gagal merobek gawang Bayern Munich ketika tewas 0-1 pada aksi final Liga Juara-Juara.

Pemilik PSG dari Qatar membelanjakan 402 juta euro (RM1.983 bilion) untuk mendapatkan kedua-duanya pada 2017 dengan misi menjuarai kejohanan itu.

Bagaimanapun, mereka gagal menepati reputasi ketika berdepan gergasi Jerman yang kini mengungguli gelaran paling berprestij itu sebanyak enam kali.

Neymar, pemain termahal dunia menamatkan perlawanan dengan kad kuning dan genangan air mata.

RAUT wajah Mbappe bersama pingat. FOTO AFP
RAUT wajah Mbappe bersama pingat. FOTO AFP

“Kami mahu Neymar dan Kylian menjaringkan gol tetapi kami tak boleh mengharapkannya sepanjang masa,” kata Tuchel.

“Saya bangga kerana ‘Ney’ masih mampu mengharungi perlawanan dengan kapasiti menakjubkan, dia menunjukkan mentalitinya.

“Kylin pula agak sukar, dia berdepan kecederaan serius, terlepas banyak sesi latihan. Memang ajaib dia dapat bersama kami pada final.”

Mbappe terlepas peluang terbaik tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Manuel Neuer sejurus sebelum rehat.

Bagaimanapun, Kingsley Coman yang juga produk PSG ketika zaman kanak-kanak menjaringkan gol kemenangan Bayern pada babak kedua.

“Saya yakin jika kami dapat gol pertama, kami mungkin boleh menang 1-0,” kata Tuchel.

“Saya dapat berasakan gol pertama itu menjadi penentu keputusan final.”

Katanya lagi: “Kami perlu memastikan kualiti ini berterusan sehingga kejayaan dicapai.”

Tetapi adakah dia akan terus bersama PSG pada musim baharu tidak lama lagi?

“Saya mempunyai kontrak, saya tak tahu selain itu.”

Sementara itu, Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi i menegaskan Liga Juara-Juara kekal matlamatnya.

“Saya sangat bangga dengan pemain,” kata pemilik dari Qatar itu. ”Kami mempunyai musim yang bagus dan kejohanan yang hebat. Tiada siapa menjangkakan kami mampu ke final.

”Kami hampir memenanginya, kami melakukan apa sahaja tapi itulah bola sepak. Kami akan bekerja keras untuk menjuarainya musim depan kerana itu matlamat kami.”