Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata sudah tiba masanya acara sukan berkenaan diperluas ke negara Komanwel selepas ia dipertandingkan pada temasya Sukan Dalam Dewan dan Bela Diri Asia, Sukan SEA, Sukan Asia dan juga Sukan Olimpik Belia.
Chong, yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) dan Persekutuan Wushu Asia (WFA), berkata usaha memasukkan acara wushu dalam Sukan Komanwel 2026 telah bermula sejak tahun lalu.
“Awal tahun ini, Majlis Sukan Negara (MSN) telah menghantar surat sokongan dan saya juga telah menerima surat sokongan daripada IWUF untuk meningkatkan peluang sukan ini pada edisi 2026,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagaimanapun belum mengumumkan tuan rumah untuk edisi 2026 manakala edisi 2022 akan diadakan di Birmingham, England dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun berkenaan dengan menampilkan 20 jenis sukan.