Kenapa Kawasaki tidak ada dalam saingan kelas MotoGP?

PASTI ada antara anda yang tertanya-tanya mengapa Kawasaki tidak berada dalam saingan Kejohanan MotoGP Dunia dan hanya menyertai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK)?

Sedangkan Kawasaki merupakan antara jenama besar selain Honda, Yamaha, Ducati, Aprilia, Suzuki dan KTM dalam saingan MotoGP malah adik-beradiknya yang lain di Jepun seperti Yamaha, Honda dan Suzuki terlibat secara langsung dengan saingan motor kelas premier itu.

Adakah syarikat pengeluar motor Jepun ini takut dengan saingan MotoGP yang didominasi Honda, Yamaha dan Ducati atau ada perkara lain yang berlaku?

Sebenarnya mengikut sejarah syarikat yang diasaskan oleh Shōzō Kawasaki pada tahun 1896 ini pernah menyertai saingan MotoGP selama tujuh tahun iaitu bermula 2002 dan mengumumkan keluar daripada saingan itu pada 2009.

Pada penyertaan tahun 2002, Kawasaki menggunakan jentera ZX-RR dengan mempertaruhkan pemenang WSBK Akira Yanagawa namun beliau terlibat dengan kemalangan dan jentera itu mengalami masalah enjin.

Sepanjang tujuh tahun menyertai saingan MotoGP, Kawasaki tidak banyak kejayaan yang ditempa pasukan berwarna hijau itu.

Musim berganti, Kawasaki mencuba pelbagai kaedah dengan pertukaran pelumba mereka namun hanya mencapai kejayaan yang boleh dikatakan tidak memberangsangkan.

Sepanjang penyertaannya dalam kelas motor utama dunia itu mereka hanya berjaya menaiki podium sebanyak empat kali dan disebabkan itu tidak banyak yang boleh diceritakan mengenai kejayaan Kawasaki dalam MotoGP dari segi memenangi perlumbaan, menaiki podium, masa terpantas dan permulaan barisan hadapan.

Pada Januari 2009, setelah tujuh tahun mencuba dalam saingan MotoGP, akhirnya Kawasaki menarik diri maka berakhirlah sudah satu daripada jenama motor besar Jepun di kelas MotoGP.

Kenyataan daripada Kawasaki pada waktu itu adalah mereka mengalami krisis kewangan dan mahu melakukan pengurusan sumber dengan lebih cekap

SABAR! Ini bukan bermaksud Kawasaki takut atau tidak mempunyai kualiti yang baik dalam saingan dunia malah banyak kejayaan ditempa mereka dalam saingan dunia yang lain sebagai contoh memenangi kejuaraan WSBK, BSB Supersport Championship serta AMA Superbike Championship dan banyak lagi kejuaraan dunia lain yang boleh dikatakan didominasi oleh Kawasaki.

Banyak bukan kejuaraan yang dikecapi Kawasaki dalam saingan dunia yang lain? Namun anda semua perlu faham untuk menyertai sesebuah kejuaraan dunia ia memerlukan kos yang sangat besar untuk disertai.

Ketua Pembangunan Kawasaki ZX-10RR, Yoshimoto Matsuda pernah menyatakan, “MotoGP terlalu mahal untuk Kawasaki, ini adalah keputusan kewangan dari pihak kami. MotoGP berharga sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada SBK. Untuk MotoGP, anda memerlukan 60 hingga 70 juta euro setahun, Honda membelanjakan 100 juta euro.

“Selain itu, kami tidak dapat meyakinkan pengurusan kanan Kawasaki untuk tempat kelima dalam Kejuaraan Dunia MotoGP. Anda menjangkakan kemenangan, tanpa mengira kategorinya. Inilah sebabnya mengapa Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) lebih masuk akal bagi Kawasaki dari sudut kewangan. ”

“MotoGP bukanlah jalan yang tepat untuk kami. Anda harus memikirkan apa yang diperlukan oleh MotoGP daripada anda, teknologi apa yang diperlukannya. Dan apa yang memacunya. Sekiranya kita mengambil semua itu, MotoGP bukan pilihan kami,” jelasnya.

Perkembangan ini membawa kepada tahun 2020 yang mana tahun krisis kesihatan dan ekonomi buat seluruh dunia akibat daripada musuh tidak diundang dan tidak nampak iaitu COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta mendedahkan Kawasaki pernah memohon untuk beraksi dalam kejuaraan premier itu secara ‘wild card’.

Dorna adalah organisasi penyelenggara kejuaraan MotoGP manakala ‘wild card’ merupakan istilah merujuk kepada pelepasan diberikan kepada individu atau pasukan menyertai sesuatu pertandingan tanpa mengikut syarat kelayakan sebenar.

Kata Ezpeleta, Kawasaki ada memberikan gambaran mahu berluma dalam slot ‘wild card’ dalam MotoGP dengan menggunakan Superbike mereka, namun beliau tidak membenarkannya kerana ‘wild card’ hanya dibenarkan untuk jentera MotoGP dengan enjin patuh regulasi sedangkan ZX-10RR menggunakan enjin pengeluaran massa.

“MotoGP kini mempunyai enam pasukan ternama (Honda, Yamaha, Suzuki, Ducati, KTM, dan Aprilia), dan agak sukar pengeluar baharu untuk mencelah masuk dalam senarai tersebut dan buat masa ini selain mematuhi regulasi teknikal, hanya penyertaan pasukan persendirian dibenarkan dan bukannya pengilang,” jelasnya.

Selain itu, Dorna berpendapat jumlah jumlah 24 pelumba ketika ini sudah cukup ideal buat masa sekarang, iaitu 12 pelumba pengilang (6 pasukan) dan 12 pelumba satelit (6 pasukan).

Sebagai konklusi, cubaan Kawasaki membuat ‘comeback’ dalam saingan MotoGP masih belum menemui jalannya kerana terdapat banyak faktor perlu dipertimbangkan namun ini tidak bermakna hasrat itu tidak akan dicapai satu hari nanti!