TWMR beri jaminan keputusan adil

KUALA LUMPUR: Penganjur Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC), Two Wheel Motor Racing (TWMR), sudah mempunyai pelan sokongan untuk meneruskan perlumbaan kembali dan memberi jaminan tidak akan sewenang-wenangnya menamakan sebarang juara musim ini.

Hala tuju untuk ARRC kini bergantung kepada polisi pintu sempadan setiap negara yang terlibat kerana rata-ratanya ditutup untuk mengekang pandemik COVID-19.

Pelan sokongan yang dirangka TWMR kini adalah cuba menganjurkan empat pusingan sahaja daripada enam saingan yang berbaki dengan dua pusingan dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang dan dua  lagi di Litar Chang Buriram, Thailand.

Namun, jika kesemuanya tetap tidak dapat dijalankan, penganjur berjanji tiada pemenang akan diumumkan bagi semua kategori.

“Kami juga membuat keputusan untuk menjalankan perlumbaan secara berturut-turut dalam tempoh dua minggu agar dapat mempercepatkan musim ini.

“Namun, kami masih menunggu kerana di dalam Asia, masih ada negara yang terlibat,” ujar Pengarah Urusan TWMR, Ron Hogg.

Bagaimanapun, mereka memberi bayangan terdapat sinar positif untuk saingan tempatan, Cub Prix, untuk kembali dianjurkan.

“Saya rasa kami telah membuat satu ujia prosedur operasi standard (SOP) pada minggu lalu di Sepang, di mana saya rasa ia memastikan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan barisan pelumba untuk faham cara perlumbaan akan dianjurkan selepas ini.

“Saya yakin sukan tanpa kontak akan diberi kebenaran oleh kerajaan dalam masa terdekat.”