Syarikat berkenaan, EL-EF Sport memaklumkan perkara itu di laman sosial pada Jumaat.
Langkah itu diambil selepas Luqman, 18, dipanggil menyertai kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk, malah terdapat juga laporan dia turut diintai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan telah menandatangani salah seorang bakat muda paling berpotensi dari Asia.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan Luqman dan membantunya dalam memulakan perjalanan karier profesionalnya,” kata mereka.
Nama Luqman kembali hangat sejak beberapa hari lalu apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pendedahan tentang pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang didakwa bukan dibeli oleh KV Kortrijk.
Sebaliknya, TMJ berkata penyerang muda itu ‘terpaksa’ diambil kerana faktor bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Bos anda, Tan Sri Vincent Tan beritahu saya dia tak beli Luqman tetapi dia terpaksa ambil pasal menteri tissue (Syed Saddiq) dan Tun ‘request’ (mohon). Demi kepentingan politik,” kata TMJ seperti dipetik di laman Instagram Johor Southern Tigers (JST).
Luqman yang disenaraikan media antarabangsa sebagai antara 60 pemain remaja terbaik dunia tahun lalu, sepatutnya menyertai KV Kortrijk pada Mac. Ia bagaimanapun tertangguh atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
Namun laporan terbaharu menyebut Luqman sudah mendapat panggilan ke Belgium, minggu depan dan kini menanti kebenaran kerajaan ke luar negara.