Rindu ibu, tapi kesihatan lebih penting – Aidil Zafuan

KUALA LUMPUR: Kali pertama meraikan Aidilfitri di Johor Bahru, pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan sambutan Syawal kali ini paling sayu untuknya sekeluarga.

Namun, beliau akur tidak dapat pulang ke kampungnya di Seremban untuk meraikan Hari Raya bersama ibu tersayang kerana mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan keluarga ketika negara dilanda wabak COVID-19 yang belum berakhir.

Menurut Aidil Zafuan, sambutan Aidilfitri di Johor Bahru mungkin tidak sama seperti tahun sebelumnya, tetapi bersyukur kerana isteri dan anak-anak ada bersamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Persiapan raya kali ini sangat berbeza. Kebiasaannya memang saya balik kampung jumpa ibu dan ibu mertua saya, tetapi dengan keadaan wabak berbahaya sekarang ini, saya tidak mahu ambil risiko membahayakan kesihatan ahli keluarga yang lain.

“Saya pun ada anak-anak yang masih kecil dan di kampung ada ramai orang tua yang berisiko tinggi terkena jangkitan, jadi saya buat keputusan untuk beraya di sini sahaja walau sebenarnya rindu sangat hendak balik jumpa ibu,” katanya dalam satu kenyataan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.

Mengulas mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga-M), seperti pemain lain, Aidil Zafuan juga menginginkan agar saingan kembali bersambung selain mengharapkan pandemik COVID-19 segera berakhir.

Berdasarkan format Liga-M yang diubah oleh MFL, pemain berusia 33 tahun ini menganggap keputusan meneruskan baki tujuh perlawanan pada September depan adalah sesuai dalam situasi ketika ini.

Katanya, semua pasukan memerlukan perlawanan kompetitif, lebih-lebih lagi skuad Harimau Malaya yang perlu bersedia untuk menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Untuk saya, kalau kita tengok daripada segi masa, memang inilah format paling sesuai untuk liga dan semua tahu kita sudah kesuntukan masa kerana hanya empat sahaja perlawanan sempat dijalankan pada awal musim.

“Tambahan lagi MFL sudah membatalkan Piala FA, dan kita hanya ada Piala Malaysia yang perlu diteruskan selain skuad kebangsaan juga ada misi tersendiri. Memang ini sahaja pilihan kita ada untuk liga kembali bersambung dan ia lebih baik daripada kita langsung tidak dapat bermain pada musim ini,” katanya.