FAM nafi dakwaan KFA | Astro Awani

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), yang mengaitkan badan induk itu menjadi antara punca kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai, skuad Lang Merah.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM kesal serta menafikan segala tuduhan dan dakwaan dilemparkan KFA itu, sekali gus memberikan persepsi buruk umum kepada badan induk tersebut.

Beliau berkata, FAM telah mengambil langkah proaktif membantu ahli gabungan, menerusi tiga surat berkaitan penangguhan Liga Malaysia (Liga-M), berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan satu surat pemakluman mengenai perancangan liga, daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Sudah tentu KFA menerima surat-surat berkenaan. Kesemuanya di e-mel kepada setiausaha ahli gabungan dan kelab bertanding dalam Liga Malaysia 2020.

“Kenyataan KFA itu hanya bertujuan untuk menutup kesalahan sendiri, berkaitan kelewatan pembayaran gaji pemain tetapi pada masa yang sama mahu menyalahkan pihak lain, termasuk FAM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris dalam laman sosial miliknya hari ini mendakwa, antara punca kelewatan pembayaran gaji ke atas pemain adalah disebabkan FAM dan MFL, masih belum memberikan kata putus bila tarikh akan bermula kembali liga, setelah bermesyuarat berkali-kali.

Asmirul turut mempersoalkan kelewatan FAM dan MFL membuat keputusan itu, menyebabkan kesukaran untuk ahli gabungan menstruktur kewangan pasukan masing-masing serta mengadakan perbincangan dengan pemain.

Stuart menjelaskan, surat pertama bertarikh 17 Mac adalah mengenai arahan PKP, antaranya melarang sesi latihan dan perlawanan persahabatan diadakan, disusuli surat kedua bertarikh 25 Mac bagi menyatakan arahan PKP dilanjutkan ke fasa kedua sehingga 14 April.

Seterusnya surat ketiga bertarikh 5 April mengenai pemakluman perancangan MFL, dengan isi kandungannya menyatakan beberapa alternatif dibuat bagi meneruskan kalendar bola sepak musim 2020 serta makluman terperinci akan diberikan sebaik kerajaan mengumumkan penetapan tarikh akhir PKP.

Sementara surat keempat bertarikh 10 April pula memaklumkan bahawa kerajaan melanjutkan PKP ke fasa ketiga sehingga 28 April.

“FAM dan MFL pastinya akan bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan tempoh PKP berakhir, dan kami akan mengumumkan secara spesifik tarikh pertandingan Liga Malaysia 2020 akan disambung semula.

“FAM tidak mahu dilihat sebagai badan induk yang terburu-buru membuat sesuatu ketetapan terlalu awal kerana hal ini memerlukan perancangan teliti, perbincangan menyeluruh dan penelitian bersama banyak pihak agar keputusan dibuat tidak berubah-ubah,” katanya.