Kanak-kanak kerdil mangsa buli: ONE Championship taja Quaden tonton, belajar MMA

VIDEO tular seorang kanak-kanak kerdil di Australia, Quaden Bayles yang menangis dan mahu mengakhiri nyawa sendiri akibat dibuli mendapat perhatian ramai termasuk dalam kalangan selebriti terkenal.

Terbaharu, video itu turut mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) organisasi seni bela diri terkemuka Asia, ONE Championship Chatri Sityodtong yang menjemput kanak-kanak 9 tahun itu ke Singapura untuk mempelajari seni bela diri di gim miliknya Evolve MMA.

Malah, Chatri menerusi muat naik di Twitter dan Instagramnya turut memaklumkan ingin membiayai segala perbelanjaan termasuk penerbangan dan penginapan sepanjang Quaden dan keluarganya di sana, dan menyaksikan acara ONE: King Of The Jungle yang bakal berlangsung 28 Februari ini.

“Saya baharu sahaja bercakap dengan ibu Quaden, Yarraka di telefon. Dia dengan berbesar telah menerima jemputan saya untuk ke Singapura untuk percutian tajaan penuh supaya Quaden dapat belajar seni bela diri di Evolve.

“Jurulatih kami pastinya akan jadikan Quaden kalis buli,” kata Chatri.

Sebelum itu, Chatri dalam sebuah video yang dimuatnaiknya turut memberikan kata-kata semangat kepada Quaden dan berjanji akan menghubunginya menerusi FaceTime.

“Saya hanya ingin memberitahu, kamu mempunyai kawan di Asia.

“Saya mahu kamu tahu bahawa Tuhan menguji tenteranya yang paling berani dan kuat dengan dugaan yang dahsyat, dan pastinya kamu adalah salah seorang daripada mereka,” katanya.

Terdahulu, ibu Quaden, Yarraka Bayles pada Selasa lalu berkongsi video anak lelakinya itu yang menangis dan mahu mengakhiri nyawanya sendiri akibat dibuli.

Menerusi video berdurasi 6:46 itu, Quaden menyatakan dia mahu menikam dirinya sendiri dan mahu orang membunuhnya.

Ini semua kerana menurut Yarraka, Quaden sering dibuli di sekolah akibat kelainan fizikal yang dialaminya itu.

“Saya mahu semua orang termasuk ibu bapa, pendidik, para guru memahi kesan akibat dibuli. Ini apa yang terjadi kepada seseorang kanak-kanak akibat dibuli.

“Jadi tolong mengajar anak-anak anda, ahli keluarga serta rakan-rakan anda tentang kesan dibuli,” katanya.

Yarraka menerusi video tersebut turut menyatakan sebelum ini Quaden ada cubaan membunuh diri kerana tidak tahan dibuli setiap hari ke sekolah ataupun apabila berada di tempat awam.

Sejak video tersebut tular di media sosial, apa yang terjadi terhadap Quaden mula menarik perhatian ramai.

Salah seorang selebriti yang mahu membantu Qauden adalah pelakon antarabangsa, Hugh Jackman.

Dalam perkongsian menerusi video di lama Twitter peribadinya, Jackman turut mengingatkan orang ramai untuk menghentikan buli.

Selain itu, kempen mengumpul dana untuk membantu Quaden menerusi GoFundMe untuk menghantar kanak-kanak itu ke Disneyland berjaya mengumpul dana berjumlah lebih AS$167,000 (RM700,000.31).

Brad Williams yang memulakan kempen tersebut menjelaskan, jumlah yang berjaya dikutip adalah melebihi sasaran awal iaitu AS$10,000 (RM41,000.94).

Baki tersebut juga akan disalurkan kepada organisasi antibuli dan antikeganasan.