Conte, bagaimanapun, menolak cadangan bahawa anak buahnya itu akan terganggu dengan spekulasi masa depannya.
“Lautaro baru berusia 22 tahun tetapi dia sangat matang dan bijak mengendalikan situasinya,” kata Conte dalam sidang media menjelang perlawanan menentang pencabar Serie A, Lazio.
“Khabar angin tidak membawa makna besar. Ia hanya cakap-cakap di media. Pemain saya tetap kekal fokus.
“Pemain tahu apa yang dituntut daripada mereka. Kami langsung tidak mempedulikan khabar angin. Pemain perlu fokus dengan aksi di padang.”
Conte menegaskan fokus utama mereka adalah untuk terus mencabar kejuaraan liga meskipun percaya mereka akan menghadapi Lazio, yang mendahului Nerazzurri daripada segi perkembangan, awal pagi esok.
“Meraih kemenangan bukannya mudah khususnya di Itali. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya sebuah pasukan yang telah memenangi liga,” tambahnya.
“Begitu juga senario di Perancis dan Jerman. Lazio telah memenangi trofi baru-baru ini dan ia memerlukan masa tetapi mereka masih mengekalkan skuad utama. Mereka bertambah mantap pada setiap tahun, mereka adalah sebuah pasukan yang ampuh dan mendahului kami dalam soal pembangunan.
“Lazio telah beraksi dengan baik dan perancangan merupakan aspek penting, begitu juga dengan kesabaran.
“Anda memerlukan masa dan kesabaran dalam bola sepak. Itulah satu-satunya cara untuk berkembang dan ia menjadi tujuan kami.”