Permulaan cemerlang Erling Haaland bersama Borussia Dortmund diteruskan awal pagi tadi apabila meledak dua gol ketika hadir sebagai pemain gantian untuk mengatasi Cologne 5-1.
Pemain berusia 19 tahun itu meledak hatrik dalam penampilan sulungnya berdepan Augsburg selepas diperkenalkan pada minit ke-56, selepas berhijrah dari Salzburg bulan ini.
Pemain kebangsaan Norway itu mengulangi persembahan yang sama apabila sekali lagi hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian — 25 minit sebelum tamat perlawanan — dan telah berjaya mencetak lima gol dalam tempoh satu jam menyarung jersi Dortmund.
Skuad kendalian Lucien Favre itu telah mendahului 3-1 sebelum Haaland diperkenalkan — hasil jaringan yang diledak oleh Raphael Guerreiro, Marco Reus dan Jadon Sancho, sementara Mark Uth menjaringkan gol buat pelawat.
Haaland pantas menyudahkan bola muntah apabila penjaga gol, TImo Horn gagal kemas menolak keluar percubaan Sancho sebelum melengkapkan kemenangan pasukan pada minit ke-87.
Dortmund kini empat mata di belakang RB Leipzig, yang mendahului saingan Bundesliga.