Ole Gunnar Solskjaer percaya Manchester United sudah memperoleh gambaran yang jelas dan akan memperbaiki prestasi dengan kemasukan pemain baru bulan ini selepas tewas 0-2 kepada Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri awal pagi tadi.
United memaparkan aksi buruk ketika berdepan skuad kendalian Sean Dyche itu dan kelihatan amat lemah di bahagian serangan tanpa penyerang utama, Marcus Rashford, yang mungkin tidak dapat diturunkan hingga April depan kerana kecederaan belakang.
Chris Wood dan Jay Rodriguez muncul penjaring Burnley, yang tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kelebihan itu sehingga tamat perlawanan.
United kerap dikaitkan untuk mendapatkan pemain tengah Sporting CP, Bruno Fernandes, walaupun laporan media mendakwa kedua-dua pasukan itu gagal mencapai kesepakatan mengenai perpindahan pemain kebangsaan Portugal itu.
Solskjaer menegaskan United sedang berusaha untuk memperkuatkan skuad mereka walaupun gagal menjawab soalan sama ada dia mendapat sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi kelab itu atau tidak.
Dia berkata kepada BT Sport: “Kami mahu memperbaiki keadaan, kami mempunyai sasaran tersendiri.
“Hari seperti ini menunjukkan bagaimana baiknya sesetengah mereka (pemain muda dalam skuad United) melakukannya dalam musim ini — sesetengah keputusan dan prestasi mereka amat luar biasa.
“Ini merupakan kekalahan kedua kami di laman sendiri sejak Ogos lalu.
“Saya fikir kami dapat mengekalkannya dengan memenangi perlawanan ini tetapi ia tidak terjadi.
“(Perpindahan) sentiasa akan menjadi perbualan buat ketika ini.
“Kami sudah dapat melihatnya dengan jelas dan akan memulakan tugas mendapatkan pemain baru.
“Sekarang ialah jendela perpindahan, jadi saya akan terus menjawab soalan seperti ini sehingga ia ditutup.
“Kami sedang mengusahakan beberapa perkara.
“Bagi saya, perkara terpenting adalah kami perlu memaparkan prestasi terbaik di atas padang.
“Persembahan hari ini tidak cukup baik untuk pasukan Manchester United,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan United kekal di tangga kelima dengan ketinggalan enam mata di belakang Chelsea dengan 34 mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Tottenham Hotpsur dan Wolves.