BAM cari jalan atasi enam masalah utama program remaja

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengenal pasti enam masalah besar yang membelenggu program remaja sehingga Malaysia gagal mencabar kejohanan Asia dan dunia bagi musim 2019.

Tahun ini menyaksikan skuad remaja negara merekodkan pencapaian unik dalam dua kejohanan itu dan selepas sekian lama, Malaysia pulang dengan tangan kosong.

Situasi berkenaan memaksa badan induk itu menerusi jawatankuasa pembangunan yang diketuai Datuk Ng Chin Chai bagi mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh.

BAM baru selesai melaksanakan bengkel khas dan bakal membentangkan kertas kerja untuk program lebih baik buat bakat muda negara.

“Selepas bengkel hari ini, kami akan merumuskan jalan penyelesaiannya dan menyerahkan perancangan berkenaannya kepada Jawatankuasa BAM pada April depan,” kata Chin Chai di Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara hari ini.

Antara faktor utama yang disifatkan sebagai kebimbangan yang membelenggu program remaja negara adalah membabitkan penyertaan kejohanan serta unsur berkait dengan pemain dan jurulatih.

“Enam isu telah dikenal pasti dan dibincangkan hari ini.

“Antaranya, masalah pemain tidak cukup menyertai pertandingan, sejauh mana struktur pertandingan, sama ada baik atau perlu penambahbaikan.

“(Begitu juga dengan) pemikiran dan sikap jurulatih dan pemain. Adakah ia bagus serta sejauh manakah kemampuan jurulatih, apakah ia mencukupi atau tidak.”