BAM berasa kesal dan sedih kerana kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi ‘Surat Terbuka Kepada Menteri Belia dan Sukan’ itu yang mengatakan bahawa pemain negara ‘bernasib baik’ kerana pemain terbaik Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu.
“BAM turut melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap kenyataan menyentuh prestasi skuad badminton kebangsaan di Sukan SEA. BAM menegaskan kenyataan Zolkples itu sama sekali tidak akan membantu situasi, sebaliknya menjatuhkan semangat para pemain,” menurut BAM dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Sebagai bekas Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples pastinya menyedari bahawa ketiadaan pemain-pemain ‘ternama’ yang bertanding di temasya sukan dwitahunan itu juga adalah keputusan persatuan badminton negara Asia Tenggara dan di luar bidang kuasa BAM.
“Pingat emas yang telah dimenangi oleh wira-wira muda ini tidak harus diperlekehkan. Beliau seharusnya melihat dari perspektif yang lebih positif, di mana pada usia yang muda, pemain ini telah berjaya mengharumkan nama negara.
“Mereka memerlukan sokongan serta galakan dari semua pihak untuk melangkah lebih jauh lagi,” jelas BAM menjawab dakwaan Zolkples mengenai kemampuan pemain muda negara meraih emas sekiranya pemain terbaik rantau Asia Tenggara seperti Anthony Ginting, Jonathan Kristie, Inthanon Ratchanok, Gideon/Sukamulyo dan Ahsan/Setiawan menyertai temasya kali ini.
Menerusi surat terbuka itu Zolkples berkata: “Sukan badminton pula tidak boleh berbangga dengan tiga pingat emas dimenangi. Ini kerana pemain-pemain kita bernasib baik kerana pemain-pemain terbaik dari Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu.
Pada Sukan SEA Filipina yang berakhir pada 11 Dis, skuad badminton menghadiahkan tiga pingat emas kepada kontinjen negara melalui Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), S.Kisona (perseorangan wanita) dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).
Sementara itu, BAM berharap Zolkples yang berpengalaman luas dalam pembangunan sukan negara dapat bersikap positif dan memberikan sokongan dalam usaha untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap dibarisi pemain muda dan tidak menggunakan mereka sebagai bahan untuk meluahkan perasaan sakit hati beliau terhadap pihak tertentu.
Antara isi kandungan lain dalam ‘Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan’, Zolkples melahirkan kerisauan Zolkples terhadap sasaran negara di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Beliau melahirkan rasa khuatir terhadap kontinjen negara yang akan pulang dengan tangan kosong seperti yang berlaku di Sydney 2000 dan Athens 2004, dimana Zolkples menganggap ia bukan satu perkara mustahil untuk berulang.
Zolkples juga mengulas mengenai prestasi atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik terutamanya dari sukan badminton dan terjun yang menjadi sandaran pingat sebagai tenat dan tidak meyakinkan.