Pemain gabra pada babak pertama – Kim Swee

KETUA jurulatih skuad bawah-22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui bahawa para pemainnya masih mencari rentak pada separuh masa pertama aksi Kumpulan A, Sukan SEA 2019 menentang Myanmar hari ini.

Keadaan itu menyaksikan Malaysia terikat 1-1 di Stadium Memorial Rizal, walaupun anak-anak buahnya telah mempamerkan prestasi yang lebih baik pada babak kedua, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

“Kita harus faham yang perlawanan pertama bukan mudah, para pemain dah lama tak bermain (secara berpasukan). Pemain kita gabra dan hadapi kesukaran pada separuh masa pertama, tetapi bertambah baik dan kita mendapat lebih banyak peluang berbanding Myanmar pada separuh masa kedua.

“Selepas ini kita harus memastikan bahawa peluang yang dicipta ditukar menjadi gol. Kalau kita tidak mampu menghasilkan gol daripada serangan-serangan yang kita lakukan, kita mungkin akan hadapi masalah dari segi perbezaan jaringan nanti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada aksi tersebut, Myanmar yang menampilkan aksi menyerang dan pantas, mengejutkan Malaysia dengan jaringan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13, sebelum tandukan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan pada minit ke-24.

Kim Swee turut menjelaskan bahawa penyerang, Muhammad Akhyar Abdul Rashid hanya mengalami kekejangan otot kerana kesukaran beraksi di permukaan padang sintetik dan bukannya kecederaan serius.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan Myanmar, Velizar Popov berkata, beliau akan meneruskan taktikal menyerang pada perlawanan seterusnya.

” Saya berpendapat ia adalah keputusan yang adil. Malaysia menampilkan aksi yang hebat dan sukar untuk kami mengalahkan mereka. Namun permainan taktikal kami berhasil.

“Kami akan memperagakan rentak yang sama pada setiap perlawanan. Saya tidak melihat keperluan untuk melakukan perubahan,” kata jurulatih kelahiran Bulgaria itu yang pernah membimbing skuad Kelantan pada 2016.

Myanmar seterusnya akan bertemu tuan rumah, Filipina pada Rabu ini, manakala Malaysia akan bertemu Filipina pada Jumaat ini selepas rehat selama tiga hari.