Bekas juara lima kategori itu membuat pengumuman tersebut di akaun Instagramnya selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UFC, Dana White.
Dalam dua posting berbeza, Mayweather, 42, berkata dia dengan White kini dalam usaha menganjurkan sebuah acara besar pada tahun hadapan.
“Saya dan White bekerjasama sekali lagi untuk membawakan satu lagi acara yang hebat pada 2020,” katanya dalam kapsyen tersebut.
Sejam selepas itu, dia memuat naik satu lagi posting yang bertulis “akan keluar dari persaraan pada 2020.”
Bagaimanapun tidak diketahui sama ada Mayweather mahu menyertai UFC atau pun bertarung di Zuffa Boxing iaitu promosi tinju yang diumumkan White baru-baru ini di bawah syarikat penaung UFC, Zuffa.
Mayweather, pada Ogos 2017 lalu, pernah keluar dari persaraan untuk menewaskan bintang UFC Conor Mcgregor menerusi keputusan TKO pada pusingan ke-10.
Pertembungan di T-Mobile Arena, Las Vegas itu melebarkan rekod kemenangannya kepada 50-0.
Pada November tahun lepas pula, Mayweather sekali lagi kembali ke gelanggang untuk menentang atlet ‘kickboxing’ dari Jepun, Tenshin Nasukawa dalam satu perlawanan pertunjukan di Tokyo.
Perlawanan itu menyaksikan Nasukawa ditumbangkan dalam hanya 140 saat.