Kane contoh terbaik buat Abraham – Lampard

Frank Lampard mahu Tammy Abraham memandang rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England, Harry Kane, sebagai contoh selepas penyerang Chelsea itu terus memberi tekanan buat Jamie Vardy dalam carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

Abraham membuka jaringan ketika Chelsea menewaskan Crystal Palace 2-0 di Stamford Bridge malam tadi apabila menolak masuk golnya yang ke-10 dalam liga musim ini.

Gol pembukaan pemain berusia 22 tahun itu disusuli dengan jaringan tandukan Christian Pulisic dalam babak kedua untuk skuad The Blues itu melonjak ke tangga ketiga.

Ditanya sama ada Abraham berpotensi untuk menjadi pesaing Kane dalam skuad kebangsaan England, Lampard berkata penyerang muda itu masih mempunyai perjalanan yang panjang, namun percaya bintang Tottenham Hotspur itu telah menunjukkan contoh terbaik.

“Harry Kane pemain yang luar biasa,” katanya kepada BBC Sport.

“Apa yang telah dilakukannya dalam beberapa tahun ini dan dalam kariernya amat luar biasa.

“Jadi, Tammy perlu melihat kepadanya dan menjaringkan gol dalam setiap peringkat.

“Itulah tahap seterusnya buat Tammy.

“Apa yang telah ditunjukkannya sepanjang bulan ini adalah terlalu banyak perkara dalam permainannya.

“Dia tidak memiliki banyak ruang hari ini disebabkan cara permainan Palace tetapi saya memberitahunya pada waktu rehat supaya dia meneruskannya.

“Ia adalah perlawanan di mana penyerang tidak dapat apa yang mereka usahakan tetapi mungkin menjaringkan gol dan dia melakukannya,” katanya.

Lampard membariskan skuad Liga Perdana termuda Chelsea dalam perlawanan itu dan memanjangkan rekod kemenangan kepada enam perlawanan berturut-turut.

Dan pengurus itu mahu mengekalkan kecemerlangan Chelsea sepanjang musim ini.

“Kami amat layak untuk memenangi perlawanan ini.

“Babak pertama agak mengecewakan kerana kami menguasai perlawanan, memperoleh beberapa peluang tetapi tidak dapat menyudahkannya dan membenarkan rentak permainan menurun sedikit.

“Sebaik babak kedua bersambung, saya fikir kami layak menang dengan dua jaringan yang kemas dan tidak dibolosi.

“Mereka amat tekal kerana kami berada dalam pretasi terbaik dan dengan adanya pemain yang lebih tua, keseimbangan itu agak baik.

“Pemain yang lebih tua menolong yang lebih muda.

“Pemain muda pula cepat menyedari tahap ini dan kesukarannya.

“Tetapi mereka berusaha dengan amat keras dan meningkat.

“Ia masih terlalu awal, jadi kami boleh meneruskannya untuk lebih lama dan dalam perlawanan yang akan datang,” tambahnya.