Malaysia raih mata pertama, seri 1-1 dengan Australia

JOHOR BAHRU: Malaysia memperoleh satu mata apabila seri 1-1 dengan Australia pada aksi kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Taman Daya, di sini, malam tadi.

Anak buah Nur Saiful Zaini berjaya mendapatkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35 yang disempurnakan oleh Adam Aiman Mamat.

Namun kegembiraan Malaysia untuk terus mendahului perlawanan tidak bertahan lama apabila Daniel Mcbride meledakkan gol padang penyamaan pada minit ke-58.

Terdahulu, India berpesta gol apabila membenam New Zealand 8-2.

Anak buah B J Kariappa tidak memberi peluang kepada skuad New Zealand untuk melakukan serangan apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Dilpreet Singh, diikuti jaringan Shilanand Lakra dan Sanjay pada minit ke-14 dan ke-17 selain dua pukulan sudut penalti oleh Mandeep Mor pada minit ke-20 dan Sanjay dua minit kemudian.

Tersentak dengan lima jaringan itu, skuad bimbingan Bryce Collins mula mengasak dan pemainnya Dylan Thomas berjaya menembusi gol lawan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 28, diikuti gol padang pada minit ke-44.

Namun kegembiraan skuad Kiwi itu hanya sementara apabila India sekali lagi melakukan serangan bertubi tubi dan menyumbat tiga gol menerusi gol padang Suman Beck pada minit ke-45, Pratap Lakra lima minit kemudian hasil pukulan sudut penalti dan gol padang Sudeep Chimarko minit terakhir sebelum wisel penamat.

Dalam perlawanan lain, Great Britain sekali lagi beraksi dengan cemerlang apabila menundukkan Jepun 2-1.

Great Britain yang melakar kemenangan pertama semalam, meneruskan momentum menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Loan Wall pada minit ke-13.

Walaupun pemain Jepun bertubuh lebih kecil, namun ia tidak mematah semangat melawan mereka apabila memberi cabaran kepada skuad kendalian Jon Bleby dan menyamakan kedudukan menerusi gol padang menerusi Kawabe Kosei pada minit ke-21.

Tersentak dengan kebangkitan skuad Kyoichi Nagaya, ketua pasukan Great Britain Nicholas Park mengesahkan kemenangan pasukannya menerusi gol padang pada minit ke-47.

Hari ini adalah hari rehat untuk SOJC.