Kapten Spurs, Lloris, diberikan oksigen sebelum diusung keluar dari padang ketika babak awal pertemuan di Stadium Amex.
Penjaga gol itu mengalami kecederaan selepas cuba menghalang hantaran lintang, menghempap lengan kirinya ketika cuba menahan daripada terjatuh.
Neal Maupay membuka tirai jaringan hasil bola muntah dan Brighton menambah dua lagi gol menerusi pemain muda, Aaron Connolly.
Situasi yang melanda Lloris serta kekalahan kelima musim ini yang diraih dalam semua kejohanan melengkapkan minggu suram buat Spurs selepas dibelasah Bayern Munich 7-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu.
“Saya rasa perkhabaran itu tidak bagus,” kata Pochettino selepas penjaga gol Perancis itu dikejarkan ke hospital.
“Kami perlu menunggu, pihak kelab cuba menjelaskan situasi sebenar. Semua orang menyaksikan dia jatuh di atas padang dan ia bukan situasi yang bagus.”
Dia menambah: “Sudah tentu ia memberi kesan kepada perlawanan. Kami tidak boleh menafikan kehebatan Brighton tetapi seluruh pasukan menanggung kesan daripada insiden itu.
“Kami mencuba cara lain dalam babak kedua tetapi tidak bernasib baik.
“Ketika kedudukan 3-0, permainan sudah tamat. Saya ingin memohon maaf kepada semua peminat dan mengucapkan terima kasih di atas sokongan diberi.”
Tottenham yang masih dipalit kekecewaan susulan keputusan buruk diraih pertengahan minggu ini, cuba bangkit selepas ketinggalan tetapi tidak menghalang daripada mereka menanggung kekalahan pertama di tangan Brighton dalam tempoh 36 tahun.
Penyerang Ireland, Connolly, jelas menyinar dalam penampilan sulung dalam kesebelasan utama di pentas Liga Perdana Inggeris menerusi dua gol dalam setiap babak.
Graham Potter memuji pemain berusia 19 tahun itu sambil meraikan kemenangan pertama sekali gus meredakan tekanan yang dihadapi sejak permulaan musim.
“Dia telah membuka akaun jaringan,” katanya.
“Connolly beraksi selaku pemain gantian tetapi tidak bernasib baik untuk menghasilkan gol. Dia memberikan kami pilihan tambahan. Saya berbesar hati dengannya.
“Dia seorang pemain muda dengan masa depan yang cerah dan kami berbesar hati memilikinya di dalam pasukan.”