Dublin, 14 Disember – Conor McGregor bakal kembali?

SELEPAS hampir setahun tidak beraksi, bekas juara berganda UFC, Conor McGregor kini memberi bayangan akan kembali ke gelanggang Octagon pada hujung tahun ini.

Menerusi kenyataan ringkas di laman Twitternya pada Isnin, petarung kontroversi dari Ireland itu seperti mengesahkan akan bertarung di kampung halamannya di Dublin, pada Disember nanti.

“Dublin, 14 Disember,” katanya dalam tweet tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir UFC menganjurkan perlawanan di Dublin ialah pada Oktober 2015 iaitu acara UFC Fight Night 76.

Terdapat spekulasi yang mengatakan jika pertarungan pada Disember ini menjadi kenyataan, McGregor bakal berdepan dengan bekas juara interim lightweight, Dustin Poirier dalam satu pertarungan ulangan (rematch).

Poirier yang telah membalas tweet seorang peminat di Twitter, seolah-olah mengiyakan pertarungan dengan McGregor itu.

Petarung Amerika Syarikat itu, baru-baru ini telah menyatakan hasrat ingin bertarung semula dengan McGregor, selepas kali terakhir bertarung dengannya lima tahun lalu.

Menurutnya, ‘rematch’ dengan McGregor sangat ‘masuk akal’ buat ketika ini.

Kedua-dua petarung itu pernah bertemu pada September 2014 dalam acara UFC 178 yang menyaksikan Poirier ditundukkan oleh McGregor menerusi TKO pada minit 1:46 pusingan pertama.

Ia juga merupakan kali terakhir Poirier berlawan dalam divisyen featherweight sebelum beralih ke divisyen lightweight.

Poirier, pada acara UFC 242 di Abu Dhabi, UAE, minggu lalu tewas kepada juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 2:06 pusingan ketiga.