Pengalaman dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras yang dilalui Norshahrul ketika beraksi pada final berintensiti tinggi itu, amat ditagih ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe dalam aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, malam esok.
Cheng Hoe mengakui kelebihan dimiliki penyerang Pahang berusia 33 tahun itu atau turut dikenali sebagai Mat Yo mampu membantu pemain muda negara untuk menyerap tekanan yang bakal diberikan puluhan ribu penyokong skuad Garuda.
“Skuad 2010 dan 2019 sangat berbeza dan hanya tinggal Mat Yo (Norshahrul) seorang sahaja kini. Sudah tentu dengan pengalamannya, saya harap beliau dapat memimpin pasukan terutama di bahagian jentera serangan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Cheng Hoe, bagaimanapun menjelaskan tanggungjawab meraih tiga mata berharga tidak terletak pada bahu Norshahrul seorang sahaja, sebaliknya seluruh barisan pemain negara.
Pengendali berusia 51 tahun itu menuntut setiap pemain bakal diturunkan pada perlawanan esok menampilkan semangat juang tinggi selain menggunakan pendekatan bermain secara berpasukan sebagai kunci utama untuk meraih kemenangan.
“Bukan kita nak letak tekanan terhadap beliau (Norshahrul), tetapi sebagai satu pasukan kita perlu saling memberi sokongan dan pada masa sama saya optimis kita mampu bermain sebagai satu pasukan dengan semangat yang tinggi,” jelas bekas ketua jurulatih Kedah itu.
Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Indonesia pada final Piala AFF 2010 dengan agregat 4-2 selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum tumpas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir kedua.
Kedua-dua pasukan telah merekodkan 95 pertemuan dengan kali terakhir pada 2016 menyaksikan Indonesia menang 3-0 ketika melayani kunjungan Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa.