De Roo bayangkan mahu lanjutkan kontrak dengan FAM

SHAH ALAM: Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter de Roo, membayangkan beliau mahu melanjutkan kontrak semasanya dengan badan itu yang akan tamat pada penghujung bulan ini.

Warga Belanda berusia 49 tahun itu yang dilantik pada 1 Sept 2017 itu berkata beliau berharap untuk meneruskan kerjanya, terutama untuk terus mempertingkatkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

“Terdapat minat dari beberapa negara terhadap saya kira-kira enam atau tujuh bulan lepas, tetapi saya fikir niat saya ialah meneruskan tugas saya kerana saya baharu bermula dan banyak benda perlu dibuat.

“Saya menikmati kehidupan saya sepanjang dua tahun di sini dan saya tidak mahu pergi ke tempat lain, ” katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat di kediaman Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pada Isnin.

Majlis doa selamat itu dianjurkan Hamidin untuk memohon kepada Allah keselamatan pemain skuad Harimau Malaya yang bakal berhadapan Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis ini.

De Roo juga gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan pasukan remaja kebangsaan, terutamanya bawah 15 tahun dan 18 tahun dalam beberapa kejohanan serantau, baru-baru ini.

Beliau juga berkata pembangunan bola sepak remaja di dalam negara ini tidak sepatutnya berdasarkan hasil tetapi ke arah menyokong pembangunan pemain remaja ke peringkat senior.

“Bagus bagi kita mendapat hasil (positif), tetapi kami perlu selalu bersikap kritikal terhadap prestasi kerana ia akan membawa kepada pembentukan pemain yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata persatuan itu masih lagi berbincang mengenai kontrak baharu itu bersama De Roo dan mereka akan mengumumkannya setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan sebulat suara.

“Saya rasa tidak perlu kami bercakap mengenai perkara yang peribadi dan sulit di tengah-tengah rundingan, tetapi jika sesuatu persetujuan dicapai, kami akan membenarkannya,” katanya.