Minggu Dua: Liverpool dahului carta, setakat ini, terima kasih kepada VAR

LIVERPOOL menerajui carta pada minggu kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu selepas Manchester City terikat dua sama dengan Tottenham Hotspurs di Stadium Etihad.

Anak buah Jurgen Klopp mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan tuan rumah Southampton 2-1 hasil jaringan Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Bermain di laman sendiri, Soton sering kali juga menguji keutuhan barisan pertahanan The Reds pimpinan Virgil van Dijk dan terutamanya penjaga gol baharu yang menggantikan Alisson Becker, Adrian dari Wes Ham.

Seminit sebelum separuh masa pertama selesai, gerakan pantas Mane melepaskan rembatan lengkung di antara kawalan tiga pertahanan The Saints, berjaya menewaskan penjaga gol Angus Gunn.

Kemudian Bobby Firmino menggandakan pendahuluan pada minit ke-71, menebus kegagalan meledak peluang keemasan daripada gerakan cantik beberapa minit sebelum itu dengan rembatan leret menerjang jaring lawan.

Namun seperti dikhuatiri susulan beberapa kesilapan pada separuh masa pertama, Adrian sekali lagi cuai dan kali ini dihukum bekas pemain Liverpool, Danny Ings yang membuka akaun jaringannya untuk musim ini.

Masa tamat dengan keputusan tidak berganjak, meletakkan The Reds di persada liga sementara menunggu kesudahan pertemuan City dengan Spurs di Manchester.

Penyerang sensasi England, Raheem Sterling sekali lagi meledak untuk membuka tirai jaringan dengan tandukan daripada hantaran lintang selepas 20 minit sepak mula, namun rembatan luar petak penalti Erik Lamela menyamakan kedudukan hanya tiga minit selepas itu.

Kemudian pada minit ke-35, Sergio Aguero meletakkan kembali City di depan tetapi sekali lagi kelebihan City dirampas kali ini oleh Lucas Moura tidak lama selepas masuk menggantikan Tanguy Ndombele pada minit ke-56.

Gabriel Jesus menggegarkan Stadium Etihad pada minit ke-92 perlawanan apabila rembatannya merobek gawang Spurs, bagaimanapun dibatalkan oleh pengadilan bantuan video (VAR), yang pertama kali diperkenalkan dalam saingan EPL musim ini, selepas bola disahkan mengenai tangan Aymeric Laporte daripada tendangan sudut.

Mata terikat, mata dikongsi sekali gus meletakkan anak buat Pep Guardiola di tangga ketiga di belakang Arsenal yang kekurangan perbezaan dua gol berbanding Liverpool di tangga teratas buat setakat ini.

Manchester United boleh memintas Liverpool sekiranya menang dengan kelebihan satu gol sahaja menentang Wolverhampton pada Selasa depan.