Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, perkara tersebut merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan pada mesyuarat ketiga, bersama Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) Oktober depan.
“Kita bimbang kesesakan itu akan menjejaskan kelancaran pergerakan atlet ke venue pertandingan, memandangkan terdapat perubahan drastik di mana 21 acara akan dipertandingkan di bandar itu, berbanding hanya dua acara saja pada awalnya.
“Banyak kemungkinan akan berlaku, kerana ketika berlangsungnya temasya tersebut (November), ia sudah menghampiri musim perayaan Krismas dan dijangka bandar Manila akan sibuk dan sesak,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), antara UPSI dan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd ( UFL) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Faedzal berkata, PHISGOC turut memberi jaminan perkampungan sukan di Clark akan siap sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.
“Itu jaminan yang diberikan dan pada masa sama, PHISGOC memang perlu memastikan perkampungan sukan itu siap sepenuhnya pada 31 Ogos depan. Malah, semasa kunjungan yang dilakukan awal bulan ini juga, kami diberitahu dan melihat sendiri lebih 8,000 pekerja sedang bertungkus lumus menyiapkan tempat tersebut,” katanya.
Pada 1-7 Julai, Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersama dua timbalannya, Ahmad Faedzal dan Nurul Huda Abdullah menghadiri mesyuarat kedua dengan PHISGOC, bagi membincangkan progres persediaan Filipina dalam menganjurkan kejohanan dwitahunan tersebut.
Sebanyak 15 sukan akan dipertandingkan di Subic manakala 19 sukan bakal dilangsungkan di Clark manakala 21 di Manila dan sembilan lagi di Luzon dan lain-lain tempat.