The Lionesses berpeluang untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-84, namun sepakan Houghton diselamatkan manakala Milie Bright dilayangkan kad merah untuk mengesahkan kemaraan AS ke final bagi mempertahankan kejuaraan yang diraih dalam edisi terdahulu.
Tanpa salah seorang kapten, Megan Rapinoe, yang dilaporkan mengalami kecederaan paha, ia memberikan tamparan besar buat kem AS, namun penggantinya, Christen Press, memberikan impak besar apabila menanduk masuk gol pembukaan sebelum Morgan memadam jaringan penyamaan Ellen White menerusi tandukkan cantik pada 30 minit pertama perlawanan pada hari jadinya.
England memberikan respons yang baik dalam babak kedua, namun jaringan kedua White dibatalkan pengadil selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum Alyssa Naeher mudah menyelamatkan sepakan penalti Houghton.
Bright kemudian diarahkan keluar padang menerusi layangan kad kuning kedua bagi menamatkan kempen skuad kendalian Phil Neville itu dengan penuh kekecewaan.
Aksi mendebarkan bermula sejak awal permainan apabila AS membuka jaringan pada minit ke-10 dengan Press menyudahkan hantaran ke dalam Kelley O’Hara menerusi tandukan ke penjuru kiri atas gawang lawan.
Namun, England — yang kelihatan bergelut — menyamakan kedudukan sembilan minit berselang apabila White, menerusi percubaan pertamanya, menanduk masuk bola hantaran lintang Beth Mead dari sebelah kiri ke penjuru kanan atas gawang lawan.
Morgan, bagaimanapun, memastikan AS kembali di depan sebelum ke bilik persalinan selepas meluru ke arah bola hantaran tinggi Lindsey Horan untuk menanduknya melepasi kawalan penjaga gol England, Carly Telford, sebelum dilihat seakan-akan mengejek pemain England menerusi gaya keraian menghirup secawan teh.
The Lionesses memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan pada 23 minit terakhir apabila White menolak masuk hantaran Jill Scott, namun video bantuan pengadil (VAR) mendapati penyerang itu terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.
Satu lagi keputusan VAR memberikan England sepakan penalti selepas Becky Sauerbrunn didapati mengasari White, namun sepakan lemah Houghton mudah diselamatkan.
Bright kemudian dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan gegabah ke atas Morgan untuk USA mempertahankan kelebihan hingga ke penghujung aksi