Sambil mengucapkan terima kasih dan rasa bangga terhadap skuad ‘The Bos Gaurus’, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak pengurusan diberikan mandat untuk mengagihkan bonus itu kepada semua yang terlibat.
“Sekiranya skuad ‘The Bos Gaurus’ mampu untuk menjulang Piala FA, InsyaAllah akan ada lagi bonus yang menanti mereka selepas ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.
Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menerima kunjungan pemain dan pengurusan ‘The Bos Gaurus’ di kediaman rasmi menteri besar di sini kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.
Perak mengesahkan tempat ke final Piala FA 2019 dengan agregat 4-3 ke atas Pahang setelah menundukkan skuad Tok Gajah itu 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Perak, di sini, malam tadi.
Ahmad Faizal dalam pada itu turut menzahirkan rasa gembira melihat suasana di Stadium Perak berubah dengan sorakan padu daripada para penyokong yang disifatkan beliau sebagai ‘pemain ke-12’.
Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmed Durakovic dalam ucapan ringkasnya pada pertemuan tersebut menyifatkan prestasi ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan malam tadi sebagai sesuatu yang amat menakjubkan.
“Jika tahun lalu kita berjaya menamatkan badi 18 tahun tidak memenangi Piala Malaysia, tahun ini kita mahu tamatkan badi 15 tahun Piala FA pula. Semua yang berada dalam pasukan ini telah melaksanakan tugas dengan cukup fantastik.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua. Semua kita adalah keluarga, kita menang bersama, kalah bersama,” katanya.