Colleen berpotensi jadi juara dunia MMA pertama Malaysia – MASMMAA

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) Rashid Salleh yakin bahawa Malaysia mampu memperoleh juara dunianya yang pertama dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) pada November ini.

Menurut beliau, atlet negara, Colleen Augustine mempunyai potensi yang besar untuk muncul sebagai juara pada kejohanan dunia yang bakal diadakan pada 9 hingga 17 November di Manama, Bahrain.

“Saya harap pada November ini, bila Colleen menang, kita akan lihat juara dunia (dari Malaysia).

“Dia sangat bagus. Saya berani katakan dia adalah ‘Nicol David’ yang seterusnya untuk sukan MMA. Dia memang berdisiplin, ada pakej, berdedikasi, sangat cergas, sangat fokus, rendah diri, sentiasa belajar dari kesilapan, dan dia berlatih setiap hari dan dia juga seorang vegan,” katanya ketika ditemui pada acara ‘Malam Media ONE Championship’ di ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya mereka masih sedang mengumpul dana bagi menghantar Colleen ke sana dan kutipan sedang dibuat menerusi laman sesawang GoGetFunding.com.

Jelas Rashid, perbelanjaan yang diperlukan untuk Colleen dan jurulatihnya adalah sebanyak AS$3,000 (RM12,433) dan setakat mereka telah berjaya mengumpul kira-kira AS$1,000 (RM4,144).

“Saya harap dapat lihat seorang juara dunia pada November. Bukan hendak letakkan sebarang tekanan tetapi potensi dia sangat tinggi. Dia cuma perlu fokus,” katanya lagi.

Colleen pada 5 Mei lalu berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand.

Petarung berusia 21 tahun itu menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Khzakhstan untuk pertarungan divisyen strawweight menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Colleen wanita Malaysia yang pertama memperolehi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran IMMAF-WMMAA itu.