Kelayakan Euro 2020: Amukan dalam babak kedua kekal rekod bersih Sepanyol

MADRID: Sepanyol melakarkan rekod empat kemenangan berturut-turut dalam pusingan kelayakan Euro 2020 dengan menewaskan Sweden 3-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi walaupun tanpa dihadiri ketua jurulatih, Luis Enrique.

Enrique masih diberikan waktu rehat ekoran masalah keluarga yang dialaminya sejak Mac lalu, namun pembantunya, Robert Moreno, kekal membawa pasukan itu ke landasan tepat dengan Serio Ramos, Alvaro Morata dan Alvaro Oyarzabal menjaringkan gol dalam 26 minit terakhir untuk meletakkan Sepanyol berkelebihan lima mata di puncak Kumpulan F.

Sweden boleh menganggap diri mereka amat bernasib baik untuk mengikat kedudukan sepanjang babak pertama apabila penjaga golnya, Robin Olsen, dipaksa bekerja keras untuk beberapa kali menyelamatkan keadaan dan jaringan Dani Parejo pulan dibatalkan secara kontroversi.

Bagaimanapun, Sepanyol menemui cara untuk menundukkan Olsen menerusi sepakan penalti Sergio Ramos sebelum Morata menjaringkan gol sepakan penalti kedua dan Oyarzabal melengkapkan kemenangan itu bagi mengekalkan rekod bersih pasukannya.

Sepanyol tidak menunggu lama untuk menguasai perlawanan dan mereka hanya memerlukan 14 minit untuk memberikan ancaman apabila percubaan jarak jauh Fabian Ruiz diselamatkan oleh gerakan akrobatik Olsen.

Ia merupakan aksi menyelamat menakjubkan pertama daripada empat yang dilakukan penjaga gol itu dengan dia turut terpaksa menepis keluar percubaan voli Parejo, menolak keluar tandukan Ramos dan memastikan percubaan Isco digagalkan.

Tidak berapa lama selepas itu, hasrat Sepanyol untuk memecah kebuntuan dalam babak pertama dinafikan pengadil selepas Parejo terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menyudahkan hantaran Rodrigo Moreno.

Semangat itu dikekalkan La Roja dalam babak kedua, namun mereka hanya memecah kebuntuan itu selepas sejam perlawanan dengan Ramos mudah menyudahkan sepakan penalti yang diberikan selepas Sebastion Larsson didapati menggunakan tangan ketika menghalang hantaran lintang Marco Asensio.

Morata — yang masuk menggantikan Assensio — mengikuti jejak Ramos lima minit kemudian dengan menyudahkan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh terjahan keras Mikael Lustig.

Kemenangan itu dilengkapkan dengan gol ketiga, tidak lama selepas itu apabila Oyarzabal menghasilkan sepakan lencong gemilang dengan kaki kirinya bagi menyudahkan hantaran Fabian.