Menurut laporan New York Times, para penyiasat di UEFA mendakwa juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melanggar peraturan ketat kawalan kos perbelanjaan kelab.
Siasatan dibuat berdasarkan dokumen yang didedahkan Football Leaks bahawa pemilik City menggunakan syarikat di Kepulauan Cayman untuk menyembunyikan sebuah dana pembelian pemain.
Ahli badan penyiasat kawalan kewangan UEFA yang ditubuhkan untuk menganalisis akaun kelab yang disyaki melanggar peraturan badan itu telah mengadakan pertemuan dua minggu lalu di Nyon, Switzerland untuk melengkapkan siasatan mereka.
Badan itu diketuai bekas Perdana Menteri Belgium, Yves Leterme dijangka memfailkan laporan mereka kepada badan perundangan UEFA untuk tindakan selanjutnya.
Hukuman yang dicadangkan para penyiasat UEFA adalah penggantungan sekurang-kurangnya setahun daripada bersaing di UCL.
Bukan kali pertama City berdepan tindakan daripada UEFA
Pada 2014, City mencapai satu persetujuan bersama dengan UEFA untuk mengelak sebarang hukuman, apabila badan induk bola sepak Eropah itu mendapati City melanggar peraturan Financial Fair Play (FFP).
FFP adalah sebuah peraturan yang melarang kelab melabur wang lebih banyak daripada pendapatan kelab.
Pelbagai strategi digunakan City sejak 2012 untuk mengelak daripada dikesan para auditor UEFA, termasuk penyumberan luar kos yang ditanggung syarikat lain dan penaja dari Abu Dhabi meningkatkan jumlah bayaran kepada pasukan itu, selain mengundur tarikh bayaran kepada awal musim.
Pihak pengurusan City sudah pasti menafikan segala tuduhan terbaharu ini dan akan mengambil tindakan balas yang keras terhadap UEFA jika digantung dari saingan UCL.
Sejak City diambil alih hartawan Arab dan Timbalan Perdana Menteri Arab Emiriyah Bersatu (UAE), Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, kelab itu membelanjakan lebih daripada AS$1 juta untuk barisan skuad terkini the Citizens selain berbilion dolar lagi untuk barisan jurulatih, kemudahan dan operasi pasukan.
City baru sahaja meraikan kejayaan memenangi gelaran EPL yang keempat dan dalam landasan yang betul untuk memenangi kesemua tiga piala domestik, namun masih gagal untuk menjulang mahkota UCL, gelaran paling berharga di Eropah.
Sehingga kini belum pasti berkenaan hukuman yang akan dikenakan adalah untuk kempen musim hadapan atau pada 2020/21.
UEFA perlu mempercepatkan tindakan mereka sebelum kempen kelayakan UCL bermula Jun ini kerana City masih berhak merayu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap hukuman yang mungkin dikenakan UEFA.