Dalam perlawanan penuh drama itu, Spurs turun ke Amsterdam ketinggalan 1-0 selepas tumpas dalam separuh akhir pertama di London minggu lepas.
Perlawanan malam di Amsterdam itu seakan tidak menyebelahi Spurs apabila Ajax membuka jaringan seawal minit ke-5 menerusi kapten pasukan pemain berusia 19 tahun, Matthijs de Ligt.
Hakim Ziyech kemudian menggandakan jaringan Ajax apabila menyudahkan hantaran Dusan Tadic, menjadi kedudukan agregat 3-0 untuk pasukan tuan rumah, pada minit ke-35.
Bagaimanapun, Spurs bimbingan Mauricio Pochettino tidak mengalah dan memulakan kebangkitan pada minit ke-55, menerusi rembatan Moura.
Kurang empat minit kemudian, kekecohan dalam kawasan gol Ajax dimanfaatkan penyerang Brazil itu apabila menjaringkan gol kedua Spurs.
Spurs yang memerlukan satu gol untuk mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan berjuang sehingga saat akhir dan mendapat gol pada minit ke-6 masa kecederaan.
Moura melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran cantik Dele Alli untuk melengkapkan kebangkitan pasukan itu.
Spurs akan bertemu Liverpool di final pada 1 Jun, yang merupakan perlawanan akhir kedua melibatkan dua wakil England selepas Manchester United menewaskan Chelsea pada 2008.