Nadal: Ini aksi terburuk saya dalam tempoh 14 tahun 

RAFAEL Nadal menyifatkan penampilannya berdepan Fabio Fognini sebagai salah satu yang terburuk di gelanggang tanah liatnya dalam tempoh 14 tahun selepas dikejutkan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Monte Carlo Masters, malam tadi.

Pemain Sepanyol itu mengalami kekalahan sulungnya dalam kejohanan itu sejak 2015 apabila disingkirkan Fognini dalam aksi straight set untuk menempah pertemuan dengan Dusan Lajovic bagi aksi penentuan gelaran, hari ini.

Nadal mengetuai pertarungan itu 3-1 pada awal set pertama sebelum kehilangan 11 daripada 14 game berikutnya.

Pemain kelahiran Itali, Fognini, kemudiaannya melakukan beberapa gerakan menarik untuk mengejutkan juara 11 kali itu dalam aksi selama satu jam dan 36 minit.

Kekalahan itu mengakhiri rekod 18 kemenangan berturut-turut pilihan kedua kejohanan itu di Monte Carlo — Nadal tidak pernah melepaskan satu set pun di sana sejak pertembungannya dengan Kyle Edmund dalam pusingan kedua, dua tahun lalu.

Selepas kekalahannya yang jarang berlaku di gelanggang tanah liat, Nadal secara jujurnya ​​memuji Fognini sambil mengakui “segala-galanya” serba tidak menjadi buatnya.

“Jelas sekali, saya menampilkan aksi yang sangat buruk ketika menghadapi pemain yang bagus jadi dalam situasi itu, anda harus kalah,” katanya kepada media.

“Itulah yang saya lakukan hari ini. Ia hari yang sukar dan dia adalah lawan yang sukar.

“Semuanya tidak berjalan lancar buat saya hari ini. Saya mungkin telah memperagakan salah satu permainan terburuk di gelanggang tanah liat dalam tempoh 14 tahun. Hari ini saya memang patut kalah kerana saya menentang seorang pemain yang lebih baik daripada saya.”

Nadal kembali terbabit dalam Jelajah ATP di Monte Carlo selepas menarik diri dalam aksi separuh akhir Indian Wells ketika menentang Roger Federer, pertengahan bulan lalu, akibat isu lutut.

Sungguhpun kecewa ditewaskan Fognini, pemain kidal itu mengakui masalah kecederaan menjejaskannya, baik daripada segi mental dan fizikal.

“Saya baru pulih daripada kecederaan dan daripada segi mental, ia bukan mudah untuk menelan semua perkara yang sedang berlaku,” katanya.

“Masalahnya ialah, kadang-kadang kami sudah terbiasa untuk berada dalam keadaan yang sangat mantap sepanjang masa termasuk ketika baru kembali daripada kecederaan dengan kemenangan, kemenangan dan kemenangan. Ia tidak semudah itu.

“Bahkan, ia bertambah sukar untuk mengekalkan tahap yang sama pada setiap hari apabila anda tidak mempunyai keyakinan dalam kejohanan atau perlawanan secara berturut-turut dan itulah yang saya perlukan.”