TOKYO: Para penganjur Olimpik Tokyo mungkin menangguhkan pengumuman berhubung jumlah peminat yang dibenarkan hadir di acara itu, sehingga Jun ini, menurut media tempatan pada Rabu(21 Apr).
Ini disebabkan oleh jumlah jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat sekali gus menjejaskan persediaannya.
Para penganjur melarang ketibaan peminat luar negara dari acara yang tertangguh ekoran pandemik itu serta akan mengumumkan jumlah penonton tempatan bulan ini.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan keputusan itu dijangka diketahui pada Jun, kira-kira sebulan sebelum Sukan Olimpik itu diadakan pada 23 Julai. Langkah itu akan mengakibatkan penangguhan bagi penjualan tiket, menyusuli penangguhan Olimpik tahun lalu.
Jawatankuasa penganjur memaklumkan bahawa tempoh untuk menentukan keputusan perlu kekal “fleksibel” kerana keadaan COVID-19 terus berubah.
“Kami sedang berbincang dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan berhasrat mencapai kata sepakat mengenai keputusan yang harus diambil,” menurut kenyataan Tokyo 2020.
Menurut laporan berasingan, para atlit juga mungkin perlu menjalani ujian saringan setiap hari, bukannya sekali bagi setiap empat hari seperti rancangan awal.
Jumlah kes COVID-19 yang meningkat dengan mendadak di Jepun menjejaskan penganjuran Sukan Olimpik yang sudah ditangguhkan tahun lalu, dengan sejumlah acara ujian juga ditunda, dibatalkan atau dipindahkan ke luar negara.
Dalam perkembangan terbaru, acara kelayakan renang artistik sudah dipindah keluar dari Jepun, menurut para penganjur, dan penonton dilarang menonton acara balapan di stadium utama Olimpik.
Kelayakan bagi acara renang artistik pada awalnya dijadual berlangsung di Tokyo pada Mac, sebelum dijadual semula pada 1 hingga 4 Mei, namun kini diadakan pada Jun, “di lokasi yang akan ditentukan di luar Jepun,” menurut para penganjur pada Selasa (20 Apr).