LONDON: Manchester United membuktikan keupayaannya untuk bangkit semula walaupun ketinggalan satu gol untuk menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 pada Ahad (11 Apr).
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan United dalam kalangan empat pasukan teratas Liga Perdana England (EPL).
Dengan kemenangan yang diraih oleh Chelsea dan Liverpool pada Sabtu dan kemudian West Ham United pada awal Ahad, ini bermakna United semakin tertekan untuk mencatatkan kemenangan di padang Spurs.
Namun United berjaya bangkit dari gol Son Heung-min untuk mencatatkan kemenangan 3-1 dengan gol-gol United dijaringkan oleh Fred, Edinson Cavani dan Mason Greenwood.
Kemenangan itu sekali gus ‘merapatkan’ jurang dengan pendahulu liga Manchester City kepada 11 mata dan lebih penting bagi United, mereka kini berada sembilan mata di hadapan Chelsea yang menduduki tangga kelima dengan baki tujuh perlawanan sebelum musim ini berakhir.
West Ham mengekalkan persaingan untuk merebut tempat bagi Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan dengan menewaskan Leicester City 3-2 setelah mendahului 3-0 untuk tiga perlawanan berturut-turut.
Dua gol dari Jesse Lingard, yang semakin menyerlah prestasinya sejak dipinjamkan kepada West Ham oleh Manchester United bagi musim ini, dan jaringan Jarrod Bowen sejurus selepas waktu rehat separuh masa pertama, menjadikan kedudukan 3-0.
Namun, sama seperti apa yang berlaku ketika menentang Arsenal, yang bangkit untuk seri 3-3 pada bulan lalu dan kemudian Wolverhampton Wanderers pada pertengahan minggu lalu di mana mereka menang 3-2, pengurus West Ham David Moyes amat prihatin terhadap kerapuhan benteng pertahanannya.
Kelechi Iheanacho menjaringkan dua gol untuk Leicester tetapi West Ham terus bertahan untuk merampas tangga keempat dengan pungutan 55 mata daripada 31 perlawanan, dua mata di hadapan Chelsea dan tiga mata melebihi Liverpool.
Tottenham ketinggalan enam mata di belakang West Ham dengan peluangnya untuk menyambar empat tangga teratas kini semakin pudar.