Stadium Shah Alam dah lama ‘sakit’

Kuala Lumpur: Kerosakan yang berlaku di Stadium Shah Alam bukan hanya membabitkan masalah bumbung, malah sistem pendawaian dan lampu.

Berikutan itu, stadium keramat skuad Merah Kuning sejak tahun 1994 yang juga adalah aset kerajaan negeri itu sedang melalui proses pembaikan sepenuhnya.

Oleh itu, Selangor FC terpaksa memilih Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk tempoh dua hingga tiga tahun mulai musim ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pihaknya sudah lama memohon Stadium MBPJ untuk dijadikan gelanggang baharu pasukan.

Malah, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sudah dimaklumkan dan beliau percaya ‘rumah baharu’ Red Giants itu amat sesuai untuk digunakan oleh pasukan itu musim ini.

“Masalah Stadium Shah Alam yang utamanya pasal bumbung, tetapi ada juga masalah sistem pendawaian dan juga lampu. Sebelum ini masalah itu memang dah wujud, tapi kos operasi cukup tinggi…nak kena sewa generator dan ditambah ketiadaan penyokong, jadi ia memang tak sesuai untuk main di Stadium Shah Alam buat masa sekarang.

“Kita dah lama mohon untuk guna Stadium MBPJ dan sudah dimaklumkan kepada MFL dan pihak MBPJ. Insya-Allah kita akan main di sana dan tak masalah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini pada 9 Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan kos baik pulih Stadium Shah Alam membabitkan penggantian bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan adalah RM250 juta.

Pada tahun 2013 dan 2014, Stadium Shah Alam pernah ditutup lebih sembilan bulan untuk kerja baik pulih yang membabitkan kos sekitar RM140 juta.

Untuk rekod, sejak musim lalu Selangor FC terpaksa menyewa stadium luar selepas MFL tidak meluluskan permohonan Red Giants untuk beraksi di Stadium Shah Alam, dan kemudiannya memilih Stadium Mini UiTM sebagai gelanggang rasmi pasukan.