PSG atasi Nimes, Marseille seri

Paris: Paris Saint-Germain yang beraksi tanpa Neymar menewaskan Nimes 3-0 dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi manakala Marseille seri 2-2 menentang Lens.

Angel di Maria memanfaatkan kesilapan hantaran pemain lawan pada minit ke-17 di Parc des Princes dan Pablo Sarabia menggandakan jaringan selepas mendapat hantaran bintang Argentina itu.

Kylian Mbappe meledak gol ketiga pada babak kedua menerusi rembatan lencung dari jarak 18 meter untuk jaringan ke-15nya musim ini.

PSG gagal bertahan di puncak selepas tewas mengejut 2-3 di Lorient Ahad lalu yang juga kekalahan pertama Mauricio Pochettino sejak dilantik pengendali baharu dan kekal tiga mata di belakang pendahulu Lille.

“Reaksi sangat bagus selepas kecewa akibat kekalahan di Lorient,” kata Pochettino. “Pasukan mencipta peluang dan mengawal perlawanan.”

“Kami tidak bermain dengan intensiti sama pada kedua-dua babak, perlawanan pada Ahad lalu mungkin masih bermain di fikiran pemain,” katanya lagi.

“Kami perlu berada dalam keadaan terbaik sepanjang 90 minit seperti di Liga Juara-Juara.”

Selepas tiga kekalahan berturut-turut, Marseille mendahului 2-0 di Lens hasil jaringan Florian Thauvin dan Arkadiusz Milik tetapi kedudukan itu gagal dipertahankan selepas tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Florian Sotoca dan Facundo Medina untuk keputusan seri 2-2 sekaligus menyebabkan Marseille hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan dalam semua kejohanan.