Kuala Lumpur: Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek menyifatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih arif dalam menentukan hala tuju perseorangan utama negara Lee Zii Jia selepas pemain itu mempamerkan aksi hambar sepanjang tiga kejohanan di Thailand.
Bagi Rashid, BAM tidak perlu terburu-buru membuat keputusan sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian bersama ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan dalam misi kembali meningkatkan reputasi Zii Jia di pentas kompetitif.
“Memang perlu kaji dulu, tidak boleh tiba-tiba nak tukar jurulatih lain. Seperti sekarang BAM ada jawatankuasa mereka sendiri iaitu C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan). Saya rasa baik mereka (BAM) sendiri tentukan sama ada okay atau tidak jurulatih sekarang atau (Zii Jia) perlu balik ke (berlatih di bawah) Datuk Misbun Sidek.
“Yang penting kena bawa berbincang dulu sebab Misbun pun masih dalam BAM. Saya rasa BAM sendiri boleh bagi rumusan sama ada perlu ditukar jurulatih ataupun tidak,” katanya.
Rashid berkata demikian mengulas gesaan beberapa pihak terhadap BAM untuk mengambil tindakan drastik termasuk melantik Misbun untuk membimbing semula jaguh perseorangan negara itu dalam usaha mengembalikan prestasinya.
Prestasi buruk Zii Jia dalam tiga kejohanan di Thailand bulan lepas telah menimbulkan pelbagai kritikan terhadapnya, termasuk ada yang mempersoalkan kredibiliti Hendrawan yang seakan tidak memberi impak besar dalam corak permainan pemain itu.
“Kalau nak tukar jurulatih bukannya senang. Jadi buat masa sekarang tumpukan latihan, dapatkan input kenapa Zii Jia tidak menunjukkan prestasi baik (seperti) sebelum ini,” katanya yang turut meminta semua pihak untuk tidak cepat melatah sebaliknya memberi ruang kepada Zii Jia untuk memulihkan prestasinya.