Kuala Lumpur: Jurulatih asing sememangnya cukup beruntung apabila diberi banyak kelebihan termasuk cukai dibayar oleh pasukan dan bayaran bulanan rumah sewa juga diuruskan majikan.
Pendek kata, gaji puluhan ribu yang diperolehi setiap bulan tidak terusik dan senario itu nyata berbeza buat pengendali tempatan.
Sebaliknya tenaga tempatan yang ditawarkan gaji kecil perlu menjelaskan sendiri kesemua komitmen terbabit walaupun sebenarnya dari segi kelayakan jurulatih import dan tempatan memiliki sijil dan tahap tidak jauh beza.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, perkara berkenaan bukan lagi rahsia di mana kepakaran asing sering kali dilihat hebat di mata kebanyakan pasukan.
Jelasnya, disebabkan banyak kelebihan dan kemudahan yang disediakan menyebabkan pengendali luar berlumba-lumba mahu ke Malaysia.
“Banyak kelebihan jurulatih luar daripada jurulatih tempatan. Kalau nak tahu, mereka (jurulatih import) tak bayar cukai. Pasukan biasanya akan tampung cukai mereka dan pasukan yang akan bayar. Tapi kalau anak tempatan, kita kena bayar sendiri bermakna dari duit gaji kita itu, kita akan bayar cukai.
“Rumah sewa pun begitu juga, kita kena bayar sendiri bayaran rumah dan bil eletrik dan sebagainya. Tapi kalau jurulatih luar, bil mereka pasukan bayar. Terlalu banyak kesenangan kepada jurulatih luar, kalau betul-betul mereka berkelayakan tak mengapa, tapi jika yang diambil itu biasa-biasa, baik tolong jurulatih kita sendiri,” katanya kepada Arena Metro.
Untuk rekod, saingan Liga Malaysia musim 2021 menyaksikan hanya tiga jurulatih tempatan diberi kepercayaan membimbing pasukan dalam Liga Super.
Selebihnya sembilan pasukan lagi memilih kepakaran luar sekali gus menutup pintu pengendali tempatan yang turut mempunyai kualiti terutama selepas ramai yang berjaya meraih Lesen Pro Diploma Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Tiga jurulatih tempatan itu adalah Nafuzi Zain yang melatih Terengganu FC diikuti Zainal Abidin Hassan dengan Melaka United serta P Maniam bersama Petaling Jaya City (PJ City).