JDT perit, Kedah dan TFC ada peluang

Kuala Lumpur: Nasib berbeza bakal ditempuhi tiga wakil negara di pentas Asia apabila kedudukan balang menjelang undian Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang akan ditentukan esok tampak sengit.

Sudah pasti, laluan berliku bakal dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam penampilan ketiganya di ACL musim ini apabila dijangka berhadapan wakil dari Korea Selatan dan Jepun dalam peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Kedah dan Terengganu FC yang akan beraksi di Piala AFC dilihat berpeluang untuk mara lebih jauh sekurang-kurangnya ke pentas final Zon Asean.

JDT yang dibimbing Benjamin Mora diletakkan dalam balang 3 bersama kelab dari Vietnam, Viettel FC diikuti United City FC (Filipina), Kitchee FC (Hong Kong) dan Tampines Rovers FC (Singapura).

Kedudukan kelab di balang 1 dan 2 pula dimonopoli kelab dari Korea Selatan, Jepun, China dan Thailand yang akan menjadi lawan skuad Harimau Selatan nanti.

Manakala, balang 4 pula menyaksikan kelab dari Australia, Sydney FC mungkin boleh ditakdirkan untuk sekumpulan dengan JDT, atau empat lagi kelab lain yang belum diketahui di mana mereka perlu melalui peringkat kelayakan terlebih dulu.

Jika rekod dua edisi lalu diambil kira, peluang juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu mungkin sukar terutama untuk melepasi peringkat kumpulan dengan JDT sering gagal menamatkan kedudukan di tangga pertama atau kedua.

Namun saingan Piala AFC mungkin boleh menghadirkan berita gembira buat peminat tempatan apabila Kedah diletakkan dalam balang 1 bersama Hanoi FC dari Vietnam dan Kaya-Iloilo kelab yang berpengkalan di Filipina.

Terengganu FC pula, berada dalam balang 2 dengan wakil pasukan Singapura, Lion City Sailors serta Saigon FC dari Vietnam.

Malah, pasukan-pasukan lain dari balang 3 dan 4 juga dilihat mampu diatasi oleh dua kelab dari Malaysia itu dengan baki adalah pasukan dari Myanmar, Indonesia dan Kemboja yang jarang mencatatkan keputusan baik apabila bertemu dengan wakil negara di saingan itu sebelum ini.

Tidak mustahil pencapaian JDT muncul juara Piala AFC pada 2015 lalu mampu diikuti oleh Kedah mahupun Terengganu FC yang kini sudah bergerak secara profesional selepas diswastakan hujung musim lalu.