London: Ole Gunnar Solskjaer membidas kenyataan Jurgen Klopp mengenai rekod penalti dimiliki Manchester United dengan pengendali di Old Trafford itu turut mendakwa pengurus pasukan Liga Perdana cuba mempengaruhi pengadil.
Jurulatih Liverpool, Klopp mempertikaikan jumlah penalti yang banyak diberikan kepada United selepas juara bertahan gagal mendapatkannya ketika tewas kepada Southampton semalam.
Klopp mendakwa United mendapat lebih penalti dalam masa hanya dua tahun sejak dikendalikan Solskjaer berbanding Liverpool yang dikendalikannya sepanjang lima setengah tahun di Anfield.
United dianugerahkan enam penalti dalam aksi liga musim ini berbanding lima diperolehi skuad Klopp.
Mereka diberikan 42 penalti dalam semua kejohanan sejak Solskjaer mengambil alih tugas pada Disember 2018 berbanding Liverpool dalam tempoh sama.
Liverpool mendapat 46 penalti sejak Klopp tiba di Merseyside pada 2015.
Komen Klopp itu membuatkan Solskjaer ‘panas telinga’ dengan skuadnya akan menentang pendahulu itu dalam aksi getir pada 17 Januari.
“Itu faktanya, mungkin. Ia mungkin menjadi jawapan saya. Ia fakta kami mendapat lebih daripada mereka.
“Saya tak tahu berapa banyak penalti mereka dapat dan saya pula tak kira jumlah itu. Jadi, jika mereka mahu habiskan masa dengan bimbang apabila kami dikasari dalam petak penalti maka saya tidak akan berbuat begitu.”