Kuala Lumpur: Kemudahan latihan serba lengkap dengan corak latihan sistematik membabitkan pemain Harimau Malaya bersama kelab masing-masing menjadi harapan mempersiapkan skuad mantap menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Namun, sejauh mana perkara terbabit dapat membantu ketika musim pandemik Covid-19 masih lagi samar apabila hanya ada beberapa kelab saja memiliki fasiliti serba lengkap dengan sistem latihan sistematik.
Ketika ini, dilihat Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki segalanya merangkumi pusat latihan, rawatan dan pemulihan selain memiliki tenaga pakar mencukupi dalam memastikan pemain mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
JDT dilihat lebih ke depan dalam merangka strategi membabitkan fasiliti dengan sentiasa mengguna pakai teknologi terkini untuk pemainnya kekal cergas walaupun tiada sebarang kejohanan kompetitif.
Selain JDT, Selangor juga boleh dikategorikan memiliki infrastruktur lengkap dalam memperkasakan pemainnya sekali gus memberi kelegaan kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk memastikan anak buahnya mampu mengekalkan kecergasan.
Cheng Hoe ketika dihubungi Arena Metro mengakui fasiliti dan corak latihan sistematik yang ditetapkan oleh kelab membantu dalam persiapan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Beliau berkata, situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ini menyebabkan kem latihan skuad Harimau Malaya terpaksa ditunda, malah dilaksanakan dalam keadaan agak terbatas.
Oleh itu, sesi latihan bersama kelab masing-masing menerusi penggunaan fasiliti optimum dapat membantu memastikan anak buahnya tidak ‘tempang’ atau kurang menyengat apabila menyertai kem latihan pusat kelak.
“Saya akui dalam situasi yang agak singkat ketika ini dalam mempersiapkan barisan pemain Harimau Malaya banyak kekangan terpaksa dihadapi termasuk pergerakan agak terbatas berikutan penularan Covid-19.
“Latihan secara sistematik dan kemudahan lengkap yang terdapat di kelab Liga Malaysia membantu kita mempersiapkan pemain berkenaan apabila mereka boleh mengekalkan momentum masing-masing.
“Saya tidak mahu mengatakan mengenai kekurangan atau kelebihan kelab Liga Malaysia, namun saya akui pemain yang sentiasa menjalani latihan sistematik menerusi penggunaan fasiliti lengkap membantu barisan pemain Harimau Malaya supaya lebih bersedia,” katanya.