London: Sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia, Karim Benzema sudah pasti bergaji sangat lumayan dan mempunyai hobi mewah sesuai dengan statusnya.
Bintang Real Madrid itu mempunyai koleksi kereta dengan nilai anggaran £6 juta (RM32.69j) dan baru-baru ini dia menambah sebuah lagi, Bugatti Chiron berharga £2.5 juta (RM13.60j) selain memiliki kereta edisi terhad, Bugatti Veyron bernilai £1.5 juta (RM8.16j) di samping memiliki Ferrari 458 Spider dan beberapa lagi kereta mewah.
Dalam Instagramnya minggu lalu, penyerang Perancis berusia 33 tahun itu menayangkan koleksi terkininya, Bugatti Chiron bernilai £2.5 juta.
Jentera ‘hypercar’ terkini itu mengatasi Veyron dari segi prestasi dengan kelajuan tertinggi 420km sejam dan mampu mencapai 0-99km sejam di bawah 2.5s dan 299km dalam masa 13.6s.
Ia bukan sahaja ‘hypercar’ malah ‘hyper hyper car’.
Mercedes Benz-SLR milik Benzema turut terletak dalam garajnya. Dengan harga sekitar £750,000 (RM4.08j) ia adalah edisi istimewa Stirling Moss yang mampu mencapai 0-99km dalam masa hanya 3.5 saat.
Bintang bola sepak meminati Ferrari dan Benzema tidak ketinggalan. Dia kerap memandu di Madrid menggunakan Ferrari 458 Spider yang berharga £200,000 (RM1.08j). Peminat jentera sama yang lain termasuk Mesut Ozil, Frank Lampard dan Theo Walcott.
Selain itu, syarikat korporat turut kerap menaja bintang bola sepak terutamanya jika anda beraksi bersama Real Madrid dan Audi sebahagian daripadanya dengan Benzema memiliki model RS6 Avant C7 bernilai £90,000 (RM489,000) selain SUV, Q5 £40,000 (RM217,000).
Selain itu turut berada dalam koleksi Benzema ialah Rolls Royce yang berharga £250,000 (RM1.36j).