Aksi Villa menentang Everton ditunda

London: Aston Villa berdepan jadual Liga Perdana lebih memeningkan selepas aksi menentang Everton pada Ahad ini ditangguhkan susulan beberapa pemain masih lagi menjalani kuarantin selepas kem mereka dijangkiti wabak koronavirus.

Villa terpaksa membariskan skuad muda ketika menentang Liverpool dalam aksi Piala FA minggu lalu selepas sembilan pemain dan lima staf dijangkiti Covid-19.

Aksi menentang Everton ditunda daripada Sabtu ke Ahad bagi membolehkan kelab mendapat lebih rehat tetapi dengan beberapa pemain masih lagi dikuarantin, Liga Perdana setuju menjadualkan semula perlawanan.

“Perlawanan Aston Villa menentang Everton di tempat sendiri pada Ahad ini ditangguhkan,” menurut Liga Perdana dalam satu kenyataan.

“Susulan penjadualan semula aksi Villa menentang Tottenham Hotspur yang sepatutnya berlangsung malam tadi (Rabu), beberapa pemain dan staf masih lagi kuarantin.”

Skuad Dean Smith, Villa kini berkelebihan tiga perlawanan dalam tangan berbanding kebanyakan pencabar lain selepas tamat pusingan perlawanan seterusnya minggu ini.