Shukor tak tahu bila nak bersara

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan berpengalaman, Shukor Adan yang bakal menginjak usia 42 tahun musim depan kini semakin menghampiri rekod sebagai pemain paling tua di Liga Malaysia sejak era profesional diperkenalkan.

Dijangka terus bersama Kuala Lumpur pada 2021, Shukor berpeluang memecahkan rekod sebagai pemain paling tua milik penjaga gol era 1990-an dan awal 2000, V Murugan yang kali terakhir beraksi dengan Melaka pada usia 43 tahun.

Namun, perkara itu tidak menjadi keutamaan buat Shukor, sebaliknya berhasrat meneruskan kariernya selagi ada pasukan mahukan khidmatnya.

”Sebenarnya saya tidak merancang bila usia hendak bersara dan semuanya bergantung kepada tawaran. Jika kata, sudah tiada pasukan mahukan saya, pada satu hari nanti, saya akan berhenti juga daripada bermain bola sepak.

”Saya tidak terfikir hendak membuat rekod sebagai pemain paling berusia di dalam negara ini kerana apa yang saya tengok adalah keadaan diri saya sama ada boleh terus bermain dan buat masa ini saya bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan serius dekat diri ini.

Shukor berkata, dia akan menilai dulu prestasi dalam beberapa perlawanan musim depan kerana musim lalu hanya bermain dalam lapan ke sembilan perlawanan kompetitif.

”Namun, saya bersiap sedia beraksi di Liga Super sekali lagi kerana dahulu pada usia 40 tahun, saya pernah membantu Melaka dan saya kena persiapkan mental, fizikal dan tahap kecergasan jika mahu bermain di peringkat tertinggi.

”Sebagai pemain senior, kita kena ‘play smart’ dan bukannya ‘play hard’ kerana tidak guna hendak kerah kudrat seratus peratus kerana pengalaman membaca permainan adalah senjata terbaik,” katanya.

Berasal dari Melaka, Shukor memulakan karier profesionalnya bersama Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan dia pada asalnya seorang penyerang sebelum penyertaan di Selangor pada 2009 telah mengubahnya kepada pemain di posisi pertahanan.

Kehadirannya membantu Kuala Lumpur pada musim lalu nyata membawa tuah apabila membantu skuad warga kota itu ke Liga Super pada musim depan biarpun sebelum ini ramai sangsi akan kemampuan Shukor untuk bermain di peringkat tertinggi.