Shakir tak sangka tercalon

Kuala Lumpur: Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Engku Nur Shakir Engku Yacob tidak menyangka tercalon buat kali pertama dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual memandangkan ini musim pertama dia beraksi penuh dalam Liga Malaysia (Liga M).

Shakir yang tercalon dalam kategori Penyerang Terbaik menyifatkan pencalonan pada tahun ini memberi seribu satu makna apabila musim 2020 permulaan cemerlang untuknya di pentas Liga M di mana sebelum ini dia beraksi dalam saingan Piala Presiden bersama TFC III dan hanya beberapa kali dipinjamkan ke TFC II.

Justeru, pemain muda berusia 22 tahun ini tidak menduga aksinya bersama TFC II untuk meledak empat gol secara keseluruhan saingan Liga Perdana meletakkan Shakir sebaris dengan calon-calon lain yang nyata lebih berpengalaman bagi merebut trofi ABK20 Virtual.

Bagaimanapun, Shakir melihat penyerang Perak, Shahrel Fikri calon paling layak untuk mengungguli kategori itu berdasarkan statusnya selaku penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan.

“Ini baru tahun pertama saya beraksi dalam saingan Liga Perdana dan semestinya saya agak terkejut apabila tahu dicalonkan untuk ABK20, apatah lagi hanya tiga calon tempatan yang ada, manakala yang lain penyerang import.

“Sememangnya pencalonan ini memberi saya semangat dan motivasi lebih tinggi untuk melakukan lebih baik pada tahun hadapan kerana saya bakal beraksi dalam Liga Super bersama skuad utama (TFC), dan harap lebih banyak gol dapat dijaringkan.

“Apa-apa pun, saya tidak letak harapan tinggi sangat, sebab secara peribadi, saya rasa Shahrel layak untuk menang dan kalau boleh mana tahu rezeki saya pada tahun depan untuk cuba menjadi sepertinya pula,” jelasnya.

Antara calon lain yang turut tersenarai bagi kategori Penyerang Terbaik adalah Ramadhan Saifullah Usman (JDT), Diogo Luis Santo (JDT), Ifedayo Omosuyi (Selangor), Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Fernando Rodriguez (JDTI II), Francis Kone (Kuala Lumpur), dan Tchetche Kipre (Kedah).