London: Conor McGregor dilaporkan sedia berentap sekali lagi dengan Khabib Nurmagomedov dan mahu merealisasikannya dengan bantuan presiden UFC, Dana White dan pengurus musuh ketatnya itu, Ali Abdelaziz.
McGregor, 32, dalam ciapannya berkata: “MeDanaAliGonnaGetcha.”
Sebelum ini, White mendedahkan dia akan bertemu Khabib pada minggu McGregor kembali ke oktagon.
Pertarungan ulangan jaguh dari Ireland itu dengan Dustin Poirier yang ditewaskan pada 2014 berlangsung di Abu Dhabi pada 23 Januari.
Khabib, 32, akan menyertai McGregor di Timur Tengah dengan rakan pelatih, Omari Akhmedov turut tampil di Fight Island.
Dan di situ bos UFC, White akan berusaha membawa Khabib keluar daripada persaraan.
Ciapan McGregor dalam Twitternya turut memberi bayangan mereka akan berusaha memaksa pertarungan semula kedua-dua jaguh itu.
McGregor begitu terdesak membalas dendam di atas kekalahan pada 2018. Tetapi dengan Khabib mengambil keputusan bersara pada Oktober lalu, peluang McGregor tampak tipis.
Rakan rapat Khabib, Daniel Cormier yang juga rakan pelatihnya percaya, raja lightweight itu hanya mampu dipujuk oleh legenda UFC, GSP.
Cormier, 41, berkata kepada MMA Fighting: “Ia mungkin Georges St-Pierre. Saya percaya dia mahukan pertarungan besar dalam usaha membuktikan dirinya.
“Seperti anda katakan, Khabib Nurmagomedov cuba mencipta sejarah dan kemenangan ke atas Georges St-Pierre pasti menepati hasratnya.
“Apabila kehadiran semula menjadi sangat besar, tiada banyak perkara boleh menambah nilai. Jika dia bersetuju bertarung dan mengalahkan GSP, akan menjadi penambah nilai.”
Khabib bersara selepas tamat pertarungan pertama sejak kematian bapanya, Abdulmanap yang berusia 57 tahun susulan komplikasi koronavirus.
Bagaimanapun, Khabib mengesahkan perancangan mereka sebelum ini yang mahu dia bersara dengan rekod 30-0 sekali gus menyalakan harapan White untuk menyaksikan superstar itu kembali bertarung sekali lagi.