Haaland dinobat Golden Boy 2020

London: Bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland dinobatkan pemenang Anugerah Golden Boy 2020.

Penyerang muda itu mengatasi rakan sepasukan, Jadon Sancho selain Mason Greenwood dan Phil Foden dalam kalangan 20 pemain terpilih.

Anugerah Golden Boy diberikan kepada pemain termuda terbaik bawah 21 tahun yang beraksi di liga Eropah.

Haaland dipilih tahun ini berdasarkan prestasi menakjubkan pada musim 2019-20. Pemain berusia 20 tahun itu memuat naik gambarnya dalam Twitter dengan kapsyen: “Bangga.”

Bapanya Alf-Inge turut berkongsi kegembiraan bersama anaknya itu: “Tahniah – Gembira berada di sana dengan anak saya.”

Haaland berhak menerimanya selepas meledak 27 gol dalam 29 penampilan bersama Dortmund.

Dia turut menjaringkan 28 gol bersama RB Salzburg sebelum menyertai gergasi Jerman itu dengan nilai £17.1 juta (RM92.5 juta) pada Januari lalu.

Pemain Barcelona, Ansu Fati di tempat kedua manakala bintang Bayern Munich, Alphonso Davies ketiga.

Bagaimanapun, laporan menyebut di sebalik prestasi hebat Haaland, Dortmund sedia membuka tawaran untuk mendapatkan bintang muda itu.

Dia mempunyai klausa pembebasan £65 juta (RM351.6 juta) pada 2022 dan kelab Jerman itu mungkin menjualnya lebih awal untuk mendapatkan jumlah lebih lumayan.

Pemain antarabangsa Noway itu kini berada dalam radar beberapa kelab besar Eropah termasuk dua musuh setempat Manchester United dan City.

Real Madrid turut dikaitkan dengan Haaland sebagai pengganti jangka panjang kepada Karim Benzema.