London: Jurgen Klopp menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan pemain mudanya untuk aksi menentang FC Midtyjlland dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.
The Reds telah pun mengesahkan juara Kumpulan D dan Klopp, 53, memberi bayangan akan menurunkan skuad eksperimen di Denmark.
Trio berusia 19 tahun Curtis Jones, Rhys Williams dan Neco Williams bersama penjaga gol, Caoimhin Kelleher, 22, kesemuanya mempamerkan aksi cemerlang ketika kelab berdepan krisis kecederaan. Justeru pengendali dari Jerman itu tidak risau memberi mereka peluang kepada bintang mudanya.
Klopp berkata: “Skuad Liga Juara-Juara kami memang muda. Kami ada empat, lima atau enam pemain muda dalam skuad ini.
“Ya, mereka akan ke sana, kemudian baru kami menentukannya. Ini kali pertama kami tak perlu mendapatkan keputusan pada peringkat kumpulan.
“Tetapi kami perlu juga menimbangkan ia adalah Liga Juara-Juara, kami Liverpool dan kami mahu menang perlawanan ini.
“Apabila satu pintu tutup, pintu satu lagi buka. Tetapi kamu perlukan ‘budak’ yang betul menggunakannya dan ‘budak’ kami melakukannya.
“Tanpa pemain muda ini, kami mungkin tewas dan mereka benar-benar bersedia untuk itu. Barisan jurulatih kami memang rapat dengan kumpulan ini sebelum mereka menyertai kami dan mereka benar-benar bersedia.
“Rhys terbukti hebat, Neco beraksi dua perlawanan berturut-turut. Curtis beraksi seperti dia sudah bersama kami 10 tahun.”
Tuan rumah Midtyjlland masih belum menang perlawanan dalam kempen sulung Liga Juara-Juara mereka dan terperosok di tempat terbawah kumpulan.
Jika menang bermakna Reds mencapai lima kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama.