UiTM FC kekal di hati Faizal

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan, Muhammad Faizal Mohd Arif mengakui UiTM FC banyak mengubah dirinya sebagai pemain profesional dan percaya dirinya membuat keputusan tepat untuk terus kekal bersama pasukan itu musim depan.

Kapten UiTM FC itu antara salah seorang daripada sembilan pemain yang dilanjutkan kontrak untuk kekal bersama The Lions Troop termasuk pengendalinya, Frank Bernhardt.

Faizal, 25, menyifatkan banyak perkara positif dipelajari daripada pasukan itu sejak 2016 sehingga berjaya menjadi pemain profesional yang berkebolehan selain turut diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan.

“Saya rasa UiTM FC banyak tolong saya dalam karier bolasepak. Saya mula beraksi sebagai pemain profesional dengan pasukan ini hampir lima tahun sejak 2016 lagi dan saya gembira apabila masih kekal dengan pasukan sama.

“Memang saya ada terima juga tawaran daripada pasukan lain, tetapi saya tak boleh nafikan UiTM masih memberi seribu satu makna untuk saya.

“Banyak aspek positif yang saya dapat, dengan pengurusan pasukan juga banyak membantu kami di sini, jadi saya rasa keputusan untuk kekal di UiTM FC adalah keputusan terbaik yang saya lakukan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Bercakap mengenai Bernhardt, Faizal mengakui jurulatih dari Jerman itu seorang jurulatih yang memahami para pemain dan sentiasa memberi peluang kepada pemain muda khususnya untuk menyerlahkan potensi di atas padang.

Justeru, Faizal percaya bekas pengendali skuad bawah 22 tahun negara itu akan terus memberikan sesuatu yang lebih positif kepada pasukan bagi menghadapi musim 2021 dengan cemerlang.

“Bagi saya, Bernhardt jurulatih yang bagus dan sentiasa percayapemainnya. Beliau memahami setiap daripada kami, dan paling penting tidak pernah lupa pemain muda untuk sentiasa memberi peluang kepada mereka beraksi dalam perlawanan.

“Saya berharap musim 2021 akan berjalan lebih lancar untuk kita semua dan paling penting, UiTM FC perlu kekal dalam saingan Liga Super,” tambahnya.

UiTM FC berjaya menamatkan musim ini di kedudukan keenam terbaik Liga Super. Mereka juga berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Kelantan dengan keputusan 3-2 di peringkat 16 pasukan terakhir sebelum saingan itu dibatalkan ekoran penularan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.